Penggunaan elektrik sehingga 600 kWj tidak kena cukai perkhidmatan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih 85 peratus pengguna domestik yang penggunaan elektrik bulanannya sebanyak 600 kilowatt jam (kWj) dan ke bawah akan terus menikmati cukai perkhidmatan sifar bagi bil elektrik mereka, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Beliau berkata, hanya isi rumah domestik yang menggunakan lebih daripada 600 kWj elektrik sebulan akan terlibat dengan kenaikan cukai perkhidmatan sebanyak lapan peratus yang berkuat kuasa pada 1 Mac 2024.

"Kami tidak menukar peraturan untuk mereka yang dikenakan cukai perkhidmatan, kami hanya ingin menjelaskan bahawa pada masa ini, cukai perkhidmatan (enam peratus) dikenakan ke atas segmen ini (penggunaan elektrik lebih daripada 600 kWj sebulan), yang mana segmennya agak kecil," katanya pada sesi taklimat bersama editor di sini, pada Rabu.

Johan Mahmood berkata, pengguna elektrik komersial dan industri juga tidak akan dikenakan cukai perkhidmatan, kerana selama ini mereka tidak dikenakan cukai itu.

Begitu juga, cukai perkhidmatan tidak akan dikenakan ke atas bil air, katanya.

Kerajaan dijadual menaikkan cukai perkhidmatan kepada lapan peratus mulai 1 Mac 2024, daripada enam peratus pada masa ini.

Bagaimanapun, kenaikan itu tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman (F&B), telekomunikasi, ruang parkir kereta dan perkhidmatan logistik yang merangkumi penghantaran barangan.

Ditanya sama ada fisioterapi di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 (Akta 774) boleh menikmati pengecualian cukai perkhidmatan seperti pengamal perubatan tradisional dan komplementari (TCM) yang berdaftar di bawah Akta T&CM 2016 (Akta 775), Johan Mahmood berkata, kerajaan masih sedang mengkaji perkara tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kami cuba untuk konsisten berhubung rawatan untuk jenis perkhidmatan yang serupa, tetapi kami belum memuktamadkan lagi kajian itu," katanya.

Menurut Johan Mahmood, kenaikan dua peratus cukai perkhidmatan itu dijangka membawa tambahan hasil RM3 bilion kepada kerajaan tahun depan.

Mengenai sama ada kerajaan akan mempertimbang untuk melaksanakan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) bagi meningkatkan hasil negara, beliau berkata, ketika ini bukan masa yang sesuai untuk pelaksanaan semula cukai tersebut.

"Kerajaan akan meneruskan (usaha) mengurangkan defisit fiskal dengan memperkenalkan langkah-langkah secara beransur-ansur, yang boleh meningkatkan hasil kerajaan dan dalam masa yang sama mengurangkan kesan kepada rakyat dan perniagaan," katanya.

Mengenai cukai barang bernilai tinggi (HVGT), juga dikenali sebagai cukai mewah sebelum ini, Johan Mahmood berkata, kerajaan masih sedang meneliti butiran terperinci mengenainya dan akan membuat pengumuman dalam masa terdekat.

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada Oktober tahun lepas berkata, kerajaan akan menggubal undang-undang baharu untuk melaksanakan HVGT pada kadar lima hingga 10 peratus ke atas barangan bernilai tinggi tertentu seperti barang kemas dan jam tangan, berdasarkan nilai ambang barang.

Menurut Kementerian Kewangan, cukai itu dijangka dilaksanakan mulai 1 Mei 2024.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28