Tindakan pembangkang keluar dewan biadab, tidak hormat Institusi Diraja

Ahmad Farhan Fauzi (kiri), Laporan Sinar Harian
Ahmad Farhan Fauzi (kiri), Laporan Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan ahli Parlimen pembangkang yang bertindak keluar dewan ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Parlimen menunjukkan mereka tidak menghormati Institusi Diraja.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi berkata, sikap yang ditonjolkan itu tidak lain hanya suatu perbuatan membelakangi titah Seri Paduka Baginda YDPA ke-17, Sultan Ibrahim.

Menurutnya, kebiadaban tindakan pembangkang itu seolah-olah ingin menyindir kebijaksanaan YDPA yang bertitah agar Kerajaan Madani terus dikekalkan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Umum mengetahui bahawa titah Diraja adalah suatu kemuliaan dan titah yang sangat bertanggungjawab malah sentiasa menyentuh perihal kebajikan rakyat agar sentiasa terbela.

"Demikian itu, melalui Istiadat Pembukaan Parlimen Kali Ke-15 semalam, baginda telah bertitah dengan menasihati semua ahli Dewan Rakyat daripada kerajaan mahupun pembangkang untuk berganding bahu membangunkan negara demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, semua ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan sebagai tanda protes terhadap isu ini.

Menjelaskan tindakan itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan sepatutnya tidak melakukan sesuatu di luar peraturan mesyuarat kerana ia dilihat salah guna kuasa.

Bagaimanapun, menurut Ahmad Farhan, secara teknikalnya, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) telah mengemukakan permohonan kebenaran di bawah Peraturan 14(2) kepada Dewan Rakyat untuk membenarkan Perdana Menteri memberi ucapan pujian dan penghargaan kepada Al-Sultan Abdullah.

Artikel Berkaitan:

"Malahan, majoriti ahli Dewan Rakyat telah menyatakan persetujuan terhadap usul yang dibawa.

"Isu ini tidak patut diperbesarkan kerana Peraturan Mesyuarat 14(2), membenarkan pihak kerajaan mengemukakan usul untuk sesuatu perkara tanpa perlu dibahas dan diberi notis," ujarnya.

Beliau berpandangan, ahli Parlimen Pembangkang sepatutnya menyokong tindakan Perdana Menteri menyampaikan ucapan menjunjung kasih kepada Al-Sultan Abdullah yang telah meletakkan kemuliaan dan keutamaan kepada rakyat sepanjang pemerintahannya.

"Inisiatif oleh Perdana Menteri ini turut mewakili suara rakyat dan sepatutnya semua ahli Dewan Rakyat senada dalam mengucapkan penghargaan dan penghormatan kepada YDPA Ke-16 buat kali terakhir.

"Demikian itu, protes yang dilakukan pembangkang terhadap isu ini dengan keluar dewan beramai-ramai jelas memperlihatkan mereka gagal mempraktikkan politik matang dan hanya sibuk berpolitik semata-mata," katanya.

Ahmad Farhan turut menggesa ahli Parlimen Pembangkang untuk menghentikan ‘politiking’ dan memberi tumpuan untuk bersama dengan Kerajaan Madani memacu ekonomi negara dengan lebih pesat serta menjadi pembangkang yang berfungsi di dalam Dewan Rakyat.