Kenaikan SST dijangka raih hasil tambahan RM3 bilion

Amir Hamzah
Amir Hamzah
A
A
A

SHAH ALAM - Sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ditambah baik yang dilaksanakan bermula Mac ini dijangka meraih hasil tambahan sebanyak RM3 bilion kepada negara.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, perolehan melalui pelaksanaan tersebut juga berupaya meningkatkan bantuan bersasar kepada rakyat memerlukan.

Malah katanya, ia turut membolehkan kerajaan melaksanakan lebih banyak penambahbaikan dan penyelenggaraan prasarana awam kritikal seperti kesihatan, sekolah dan jalan raya.

“Kerajaan perlu memperluas asas cukai demi memperkukuh asas fiskal negara ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan sepertimana digariskan di bawah kerangka Ekonomi Madani.

“Pada masa sama, kerajaan turut giat merangkul seluruh kekuatan dan tenaga bagi melaraskan semula trajektori ekonomi negara merangkumi amalan perbelanjaan yang berhemat, mengurangkan ketirisan serta menarik pelabur langsung asing (FDI),” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada Oktober tahun lalu memaklumkan kerajaan bercadang menaikkan kadar cukai perkhidmatan kepada lapan peratus berbanding enam peratus.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan kenaikan tersebut tidak akan membebankan rakyat kerana sistem percukaian yang ditambah baik itu tidak melibatkan perkhidmatan penting.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, keputusan untuk memperluaskan SST dibuat bagi menyelaras dan memberi layanan cukai sama rata ke atas perkhidmatan tertentu dalam industri yang sama.

Artikel Berkaitan:

Sebagai contoh katanya, pusat karaoke yang berunsur hiburan akan dikenakan SST sebanyak lapan peratus, sama seperti pusat hiburan lain merangkumi kelab malam, dewan tari menari, kabaret dan pusat kesejahteraan.

“Perkhidmatan broker dan penajajaminan, yang kini hanya dikenakan kepada perkhidmatan kewangan sahaja, akan diperluas kepada perkhidmatan-perkhidmatan industri broker lain seperti broker kapal atau kapal terbang, komoditi dan hartanah,” katanya.

Beliau dalam masa sama turut menegaskan, peningkatan kadar SST itu tidak melibatkan perkhidmatan yang menjadi keperluan asas serta menjadi sebahagian daripada gaya hidup rakyat di negara ini.

“Sebagai contoh, perkhidmatan yang banyak digunakan oleh rakyat seperti makanan dan minuman, telekomunikasi dan parkir kenderaan kekal dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar enam peratus.

“Ini termasuklah perkhidmatan logistik yang akan dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar enam peratus. Bagi perkhidmatan penghantaran makanan dan minuman, SST tidak akan dikenakan,” katanya.