X

Kindly register in order to view this article
!

Iran hormati kedaulatan Iraq

Serpihan peluru berpandu balistik yang jatuh berhampiran pekan Al-Baghdadi selepas Iran menyasarkan pangkalan tentera udara Ain al-Assad yang menempatkan tentera AS.
A
A

TEHERAN - Iran menghormati kedaulatan wilayah Iraq selepas melepaskan peluru berpandu balistik menyasarkan dua pangkalan Iraq yang menempatkan tentera Amerika Syarikat (AS).

Susulan serangan itu, Iraq akan memanggil duta Iran berhubung serangan di pangkalan tentera udara Ain al-Assad dan Erbil.

Dalam sepucuk surat kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Setiausaha Agung Antonio Guterres, Duta Iran ke PBB, Majid Takht Ravanchi berkata, negaranya mempunyai penghormatan penuh ke atas kemerdekaan, kebebasan, kesatuan dan integriti Republik Iraq.

Tiada tentera AS atau Iraq yang terbunuh atau cedera dalam serangan itu.

“Operasi itu adalah tepat dan matlamat ketenteraan yang bersasar sehingga menyebabkan tiada kemusnahan teruk ke atas orang awam dan aset awam di kawasan itu,” kata diplomat itu dalam surat dikeluarkan misi Iran.

Iran turut mengulangi komitmennya untuk mengekalkan keamanan antarabangsa dan keselamatan serta tidak mahu mencari peluang berperang.

Kementerian Luar Iraq semalam berkata, pihaknya akan memanggil duta Iran kerana serangan peluru berpandu itu dianggap mencabul kedaulatan Iraq.

Iraq sudah memanggil duta AS selepas serangan dron Jumaat lepas yang membunuh komander kanan Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Leftenan Jeneral Qasem Soleimani berhampiran lapangan terbang Baghdad. – AFP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus