'Ini sekolah, bukan pentas sandiwara politik'

Mohammed Aiman meluahkan isi hatinya mengenai isu di SMKPBP1 yang menjadi hangat semalam.
Mohammed Aiman meluahkan isi hatinya mengenai isu di SMKPBP1 yang menjadi hangat semalam.
A
A
A

PUCHONG - Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Bandar Puchong 1 (SMKPBP1) meminta semua pihak berhenti daripada menjadikan pendidikan sebagai alat untuk mencapai matlamat politik.

Mengulas isu sekolah berkenaan yang didakwa dihias secara berlebihan, bekas pelajar tersebut, Mohammed Aiman Shah Johan Shah berkata, dia terpanggil untuk memberi maklum balas selepas mengenangkan jasa institusi pendidikan itu kepadanya.

Menerusi status dimuat naik di akaun Facebook, Mohammed Aiman berkata, sepanjang bersekolah di sekolah tersebut, perpaduan dipupuk dan disemai dalam kalangan warga SMKPBP1 tanpa sebarang api kebencian perkauman.

“Berhenti jadikan pendidikan alat mencapai matlamat politik. Ini sekolah, bukan pentas sandiwara politik.

“Pendidikan sepatutnya menjadi mekanisme menyatukan rakyat Malaysia secara telus tanpa unsur dan campur tangan pihak jahat yang berniat memporak-perandakan keharmonian yang telah kita capai selama ini.

“Kami ke SMKPBP1 untuk belajar bukannya membenci sesama rakan kami kerana perbezaan bangsa agama dan budaya. SMKPBP1 teruskan semarak perpaduan kerana ia adalah satu warisan kita yang kalis masa depan dan rentas zaman,” tulisnya dalam status itu.

Mohammed Aiman berkata, dia menulis luahan itu mengenangkan jasa sekolah sepanjang bergelar pelajar di sekolah tersebut antara tahun 2011 hingga 2015.

“Saya menulis luahan ini sebagai seorang bekas murid sekolah keramat ini yang banyak berjasa dalam membentuk saya menjadi murid yang memaknakan pendidikan menengah dalam memacu kehidupan lebih gemilang.

Artikel Berkaitan:

“Kami tidak mengenal apakah itu rasisme semasa zaman sekolah. Kami belajar dalam satu kelas yang sama, kami makan bersama semeja di kantin, kami bersukan dan beriadah bersama (pernah kena denda dengan guru disiplin kerana bermain bola sewaktu hujan) tapi itulah realitinya,” katanya.

Terdahulu, Mohammed Aiman berkata, nisbah murid di sekolah itu sememangnya tidak seimbang jika dibandingkan mengikut bangsa.

Katanya, dalam sebuah kelas yang mempunyai 45 pelajar, 25 murid adalah berbangsa Cina, 15 Melayu dan lima orang India.

“Saya tidak pasti adakah nisbah ini telah berubah, tapi kurang lebih itulah nisbah ketika saya menjadi warga SMKPBP1. Namun begitu sekolah tidak pernah mendidik kami dengan sentimen perkauman.

“Setiap kali berlangsung apa jua perayaan, semua pertunjukan mewarnai Dataran Wawasan SMKPBP1,” katanya.

Menurutnya, di sekolah tersebut pelajar mempelajari kebudayaan kaum lain sekali gus menyemarakkan semangat muhibah antara pelajar dan guru.

“Sekolah kami ada Kelab Tarian Singa yang profesional, Kelab Diabolo, Wind Orchestra tak ketinggalan juga sekolah ada pasukan nasyid dan tarian zapin.

“Uncle Kuan Chee Heng yang menjadi Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah kami juga sebagai aktivis sosial banyak membantu orang Melayu berbanding dengan bangsa lain secara relatifnya.

“Setiap kali tiba musim perayaan baik sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali, semua akan diraikan secara meriah seolah-olah pesta. Bergurau senda, bergelak ketawa, lagu perayaan berkumandang di corong radio Wawasan.fm menghidupkan lagi suasana perayaan di sekolah,” katanya.

Kata Mohammed Aiman lagi, rumah terbuka sempena perayaan yang dianjurkan pihak sekolah turut menjemput pelbagai lapisan masyarakat atas semangat muhibah rakyat Malaysia bagi meraikannya bersama-sama.

“Kami meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pentadbir SMKPBP1 untuk mengemudi agar terus berwawasan, berketrampilan dan cemerlang,” tulisnya lagi.

Semalam, Sinar Harian melaporkan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) masih menjalankan siasatan berhubung dakwaan sebuah sekolah menengah yang didakwa menghias bangunan institusi pendidikan itu secara berlebihan bagi sambutan Tahun Baru Cina.

Timbalan Pengarah Pendidikan Selangor, Muhamad Radzi Abdullah berkata, beliau telah mengarahkan pegawainya melakukan siasatan.

Ia berikutan tular di media sosial surat daripada sebuah pertubuhan politik ditujukan kepada Pengetua SMKPBP1 yang memaklumkan pihaknya menerima aduan ibu bapa mengenai perhiasan perayaan Tahun Baru Cina di sekolah tersebut.

Surat dua halaman itu turut menyatakan ibu bapa melahirkan rasa tidak selesa berkaitan dengan perhiasan yang didakwa keterlaluan dan perkara itu didakwa bertentangan dengan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilapor berkata, hiasan perayaan yang tidak melibatkan hal keselamatan tidak sepatutnya dijadikan isu yang boleh menjejaskan budaya majmuk negara ini.

Beliau berkata, dekorasi hiasan sambutan Tahun Baru Cina seperti tanglung adalah perkara biasa yang diamalkan sebagai tradisi masyarakat Cina.

ARTIKEL BERKAITAN: JPNS siasat dakwaan sekolah dihias berlebihan

PIBG turun hiasan 'berlebihan' sambut Tahun Baru Cina

Hiasan tanglung tak ancam keselamatan: Wan Azizah