Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS, mata wang utama lain

Pada jam 9.05 pagi, ringgit meningkat kepada 4.7580/7620 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.7585/7635 pada Selasa. Gambar hiasan.
Pada jam 9.05 pagi, ringgit meningkat kepada 4.7580/7620 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.7585/7635 pada Selasa. Gambar hiasan.
A
A
A

RINGGIT dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS pada pagi ini dan turut meningkat berbanding kumpulan mata wang utama lain serta mata wang negara-negara Asean berikutan sentimen positif daripada kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai penilaian mata wang tempatan itu.

Pada jam 9.05 pagi, ringgit meningkat kepada 4.7580/7620 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.7585/7635 pada Selasa.

Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata jaminan bank pusat itu berkaitan penilaian ringgit membantu menambah nilai unit tempatan dan keadaan ini dijangka berterusan sepanjang hari ini.

Semalam, Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, ringgit pada masa ini telah terkurang nilai atau dinilai rendah.

Berikutan itu, bank pusat berkenaan telah meningkatkan perbincangan dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, syarikat korporat dan pelabur untuk menggalakkan aliran masuk yang berterusan ke dalam pasaran pertukaran asing.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan MADANI tidak memandang ringan isu penurunan ringgit dan BNM telah dipertanggungjawabkan untuk memantau mata wang itu secara rapi.

Mohd Afzanizam berkata, peserta pasaran pertukaran asing juga akan menumpukan perhatian mereka kepada pengumuman inflsai perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) esok (Khamis).

"Indeks Dolar AS kekal kukuh sekitar 103 mata selepas mencecah 105 mata pada 13 Februari.

Artikel Berkaitan:

"Ini akan menyediakan sokongan kepada ringgit walaupun keadaan tidak menentu masih berterusan,”katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1623/1652 daripada 3.1671/1706 pada Selasa, meningkat berbanding pound Britain kepada 6.0322/0373 daripada 6.0362/0425 dan mengukuh berbanding euro kepada 5.1586/1630 daripada 5.1625/1679 sebelumnya.

Ringgit juga mencatatkan prestasi kukuh berbanding mata wang negara-negara Asean lain.

Unit tempatan meningkat berbanding baht Thai kepada 13.2627/2787 daripada 13.2782/2984 pada Selasa dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.5404/5439 daripada 3.5419/5459.

Ringgit juga naik berbanding peso Filipina kepada 8.47/8.48 daripada 8.48/8.49 dan meningkat berbanding rupaih Indonesia kepada 304.0/304.5 daripada 304.1/304.6. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28