Shafie Apdal bidas himpunan bantah PSS

Mohd Shafie bersama Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony (kanan) bersalaman bersama penduduk Kampung Lumat ketika berkempen sempena Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis. - Foto Bernama
Mohd Shafie bersama Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony (kanan) bersalaman bersama penduduk Kampung Lumat ketika berkempen sempena Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis. - Foto Bernama
A
A
A

KIMANIS - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membidas penganjuran himpunan membantah pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) yang dijangka diadakan pada 15 Januari ini.

Beliau yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata, demonstrasi atau sebarang himpunan bukanlah medan terbaik untuk mendapatkan sokongan rakyat terutamanya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

“Ini PRK, jadi (lebih baik) kita serahkan kepada rakyat untuk menentukan apa pandangan mereka mengenai perkara ini (PSS).

“Bagi saya ini bukan cara betul untuk melakukan sesuatu... ini adalah budaya yang tidak sepatutnya kita lakukan. Kita sebuah masyarakat matang (dan) yang penting pada kita adalah bagaimana mahu tambat hati rakyat,” katanya kepada pemberita selepas berkempen di kawasan Sinuka di sini, malam tadi.

Himpunan bantah PSS yang bakal diadakan di Pekan Membakut di sini pada 15 Januari ini adalah anjuran dua badan bukan kerajaan (NGO) dari Sabah.

Pada September tahun lepas, Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah bersetuju mengeluarkan PSS bermula 1 Jun tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan keputusan itu berkata, pengeluaran PSS adalah bagi menggantikan tiga dokumen dikeluarkan kepada warga asing tinggal lama di Sabah iaitu IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung.

Muhyiddin berkata, pengeluaran PSS, antara lain diharapkan dapat menyelesaikan isu kepelbagaian dokumen serta dapat memudahkan penguatkuasaan serta pemantauan pergerakan warga asing oleh pihak berkuasa.- Bernama

Artikel Berkaitan: