Cubaan pembangkang porak-perandakan kerajaan harus dihenti segera

Laporan muka depan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Peringatan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim seharusnya menjadi titik noktah terhadap sebarang cubaan untuk menggulingkan kerajaan sedia ada melalui pintu belakang.

Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, pesanan baginda itu seharusnya menjadi pegangan semua ahli Parlimen agar perjalanan politik negara yang sering diganggu-gugat oleh polemik yang tidak sewajarnya, tidak lagi berlaku.

Menurutnya, titah Sultan Ibrahim juga seakan menegaskan kredibiliti baginda yang mahu negara dinaungi terus maju dan utuh tanpa ada sekatan dalaman yang boleh memporak-perandakan kerajaan sedia ada.

“Penggal lepas menyaksikan perjalanan negara yang sepatutnya terus maju tersekat disebabkan oleh permainan politik yang tidak wajar terutama oleh pembangkang.

“Sudah tiba masanya titah Sultan Ibrahim itu dijadikan pegangan kerana ia merupakan amanat penting. Semua pihak wajar hormati kerana Parlimen adalah tempat untuk wakil rakyat berbincang mengenai permasalahan negara, keluh kesah rakyat serta hala tuju negara,” katanya pada Selasa.

Pada Isnin, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan peringatan, nasihat dan pandangan dalam pelbagai topik, antaranya melibatkan tingkah laku Ahli Dewan Negara dalam persidangan, keperluan merangka dasar kukuh perpaduan negara, isu karenah birokrasi, hutang negara dan kestabilan politik.

Sultan Ibrahim juga mengingatkan agar semua pihak menerima kenyataan dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang dibentuk, menandakan pintu untuk menukar kerajaan bagi penggal ini telah tertutup rapat.

Seri Paduka Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zaharuddin Sani yang merupakan Konsultan Kanan, Global Asia Consulting berkata, sehubungan itu, ahli-ahli Parlimen perlu bersikap lebih matang dan terbuka dalam membahaskan isu rakyat di Parlimen.

“Bagaimana nak maju jika Parlimen dan politik negara sering berbahas mengenai usaha menukar nakhoda (pemerintah), sebab itu untuk menjadi sebuah negara maju dan ekonomi dapat terus dipacu, perlu ada kestabilan politik.

"Titik noktah ini perlu dilakukan sekarang,” jelasnya.

Menurutnya lagi, rentetan daripada peringatan Sultan Ibrahim itu, diharap tiada pihak cuba mempersoalkan bidang kuasa baginda dalam pentadbiran negara.

“Kita harus lihat Perlembagaan mengenai had bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong dan politik yang boleh dimainkan oleh wakil rakyat. Jangan bertelagah mengenai bidang kuasa ini.

“Ia hasrat Seri Paduka Baginda, hasrat yang murni kerana baginda tidak mahu melihat negara kita terus dipinggirkan pelabur disebabkan politik picisan.

“Jangan pula dakwa baginda mencampuri hal ehwal politik negara kerana selaku ketua negara berpaksikan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, aspek itu harus dihormati,” jelasnya.

Tambah bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu, biarlah berpolitik hanya ketika pilihan raya berlangsung dan bukannya selepas pilihan raya berakhir.

“Baginda sudah pasti tak mahu terajui sebuah negara yang porak-peranda, biarlah perjalanan kerajaan seperti dikehendaki dan jika tidak berpuas hati, tukar kerajaan dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Menurutnya lagi, kestabilan politik memainkan peranan penting sekiranya mahu negara terus pesat membangun khususnya dalam sektor ekonomi.

“Kemerosotan ekonomi dan kedudukan ringgit termasuk aliran wang asing banyak dipengaruhi oleh kestabilan politik. Oleh itu titik noktah terhadap cubaan pembangkang memporak-perandakan kerajaan harus dihentikan segera.

“Jika mahu negara terus makmur, maju dan terbilang, ia harus bermula dengan kestabilan politik,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28