KSM, HRD Corp umum dua inisiatif utama bagi perkukuh akses latihan

Steven (tiga dari kanan) ketika gimik pemeteraian MoU di salah sebuah hotel terkemuka di sini, pada Selasa. - Foto HRD Corp
Steven (tiga dari kanan) ketika gimik pemeteraian MoU di salah sebuah hotel terkemuka di sini, pada Selasa. - Foto HRD Corp
A
A
A

BANGSAR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Sumber Manusia (KSM) bersama Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) mengumumkan dua inisiatif utama yang bertujuan memperluas serta memperkukuh akses kepada latihan dan pembangunan buat semua tenaga kerja di negara ini.

Inisiatif yang dimaksudkan adalah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama 13 rakan strategik pembelajaran dan pembangunan dengan tambahan lebih 160,000 kursus pembelajaran digital bertaraf dunia ke dalam platform e-LATiH.

Selain itu, penambahbaikan skim levi Kemudahan Latihan dan Pengubahsuaian (ALAT) yang membolehkan majikan meningkatkan tuntutan.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, pihaknya komited dalam memastikan setiap rakyat mendapat akses pembelajaran dan pembangunan agar tiada sesiapa yang akan terpinggir.

13 rakan strategik bergambar bersama selepas gimik menandatangani MoU di sini pada Selasa. - Foto HRD Corp
13 rakan strategik bergambar bersama selepas gimik menandatangani MoU di sini pada Selasa. - Foto HRD Corp

Menurut beliau, kesemua kursus yang ditambah ke dalam e-LATiH dipilih secara teliti oleh rakan-rakan dan HRD Corp bagi mengatasi ketidakseimbangan kemahiran kritikal terutamanya bidang kecerdasan buatan (AI), pembelajaran mesin, penguasaan digital, kelestarian serta keselamatan siber.

"Penambahbaikan kepada skim levi ALAT pula akan menggalakkan lebih ramai majikan berdaftar untuk menjalankan dan mengekalkan program latihan dalaman.

“Ia juga membolehkan mereka berkongsi infrastruktur dan sumber latihan sekali gus menarik banyak bakat bagi keperluan perniagaan semasa serta masa depan," katanya ketika berucap di majlis menandatangani Mou di salah sebuah hotel terkemuka di sini, pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Acara tersebut disudahi dengan gimik menandatangani MoU yang disaksikan Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Wira Shahul Dawood; Ketua Setiausaha KSM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud; Pengerusi HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid dan wakil daripada 13 syarikat terlibat iaitu Microsoft, LinkedIn, Skillsoft, Harvard Business School Publishing, Go1, Asia e University, Udemy, FutureLearn, Alibaba Cloud, Google Cloud Partner, Accenture, Rosen serta AirAsia Academy.

Kerjasama pertama terbabit membolehkan HRD Corp menambah akses kepada 160,000 kursus baharu melalui e-LATiH yang setakat ini menawarkan hampir 2,000 kursus percuma dan premium melibatkan pelbagai kemahiran.

Steven ketika berucap dalam majlis menandatangani MoU di salah sebuah hotel terkemuka di sini, pada Selasa. - Foto HRD Corp
Steven ketika berucap dalam majlis menandatangani MoU di salah sebuah hotel terkemuka di sini, pada Selasa. - Foto HRD Corp

Sementara itu, Abu Huraira memaklumkan, sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab terhadap tenaga kerja dan bakat Malaysia selama 31 tahun, pihaknya mahu kekal berada di hadapan dalam konteks menyampaikan program bagi menyokong semua jenis latihan.

Tambah beliau, industri latihan dalam talian telah meningkat ketara di seluruh dunia pasca pandemik Covid-19 dan ia jelas memerlukan capaian meluas terhadap platform e-LATiH.

“Pada masa sama, program latihan fizikal akan terus popular dalam kalangan majikan dan pekerja khususnya peserta yang gemar pembelajaran secara praktikal atau interaksi bersemuka.

“Oleh itu, penambahbaikan skim ALAT menunjukkan komitmen HRD Corp dalam memenuhi permintaan dan harapan pihak berkepentingannya yang membayar levi,” ujarnya lagi.