Pematuhan SOP elak sempadan negara mudah diceroboh

Sebahagian pendatang asing tanpa izin yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia dalam operasi di Kota Bharu, Kelantan pada 21 Februari lalu. (Gambar kecil: Hamdan Daniel) Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Sebahagian pendatang asing tanpa izin yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia dalam operasi di Kota Bharu, Kelantan pada 21 Februari lalu. (Gambar kecil: Hamdan Daniel) Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID.
A
A
A

SHAH ALAM - Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perlu dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak berwajib atau penguat kuasa bagi memastikan sempadan negara tidak mudah bolos.

Exco Persatuan Tadika Islam Malaysia, Prof Madya Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, perkara tersebut merupakan isu pokok yang perlu diberi perhatian utama bagi menggelakkan Malaysia mudah dimasuki oleh warga asing.

Beliau yang juga Pengerusi Rasuah Busters Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya berkata, pihak berkuasa negara yang berada di sempadan negara perlu lebih peka apabila ia membabitkan isu keselamatan serta kedaulatan Malaysia.

Tegas beliau, setiap anggota atau petugas di sempadan negara perlu mempunyai integriti dan cekap dalam mengawal selia sempadan negara.

"Jangan gadaikan keselamatan, maruah serta kedaulatan negara demi kepentingan peribadi yang hanya sedikit.

"Tindakan membenarkan warga asing memasuki negara secara haram akan mengundang bahaya serta masalah sosial yang besar," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mengulas laluan tikus yang dilakukan pihak sindiket bagi membawa masuk warga asing ke Malaysia, Hamdan berkata, ia bukan perkara baharu, sebaliknya sudah menjadi 'trend' terkini kepada mereka yang tidak bertanggungjawab untuk lolos memasuki sempadan negara dengan mudah.

Beliau berkata, pihak berkuasa perlu mengenal pasti atau mengesan jalan-jalan tikus yang dibina dari semasa ke semasa bagi membanteras tindakan menceroboh serta masuk ke dalam negara.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, laluan haram itu perlu dihapuskan atau dibuat kawalan ketat oleh pihak berkuasa di kawasan tersebut.

Selain itu menurut beliau, masyarakat tempatan yang biasa menggunakan atau mengetuai jalan tersebut perlu melaporkan kepada pihak berwajib.

"Mengapa perlu masyarakat setempat melindungi laluan haram seumpama itu, sedangkan jalan yang sedia ada lebih selamat digunakan.

"Maka untuk itu, tugas setiap rakyat Malaysia adalah sama-sama mengambil cakna dalam hal ini.

"Keselamatan negara bukan perkara enteng yang boleh diambil mudah kerana kehadiran warga asing tanpa didaftarkan boleh mengundang bahaya yang sangat besar kepada negara," ujarnya.

Dalam pada itu, Hamdan berkata, usaha terbaik menangani isu pencerobohan kedaulatan negara adalah mendapat kerjasama erat daripada pihak berkuasa negara jiran.

Menurut beliau, negara jiran perlu bergandingan bahu menangani isu besar tersebut, bukan hanya dibiarkan ke atas bahu Malaysia sahaja.

Jelasnya, pemantauan berterusan daripada negara jiran mampu membantu isu tersebut, selain mengenakan tindakan tegas kepada rakyatnya yang melakukan kesalahan tersebut.

Selain itu beliau berkata, wujudkan rangkaian bersepadu antara satu agensi dengan agensi berkaitan agar usaha sama lebih efektif dapat dilaksanakan, seterusnya mampu memberi fokus yang lebih menyeluruh kepada keselamatan negara.

"Kita pastinya tidak mahu memikul bebanan atas kesilapan kita sendiri dengan memberikan jalan mudah kepada mereka yang tidak bertanggungjawab memasuki sempadan atau ke dalam negara menerusi perjalanan yang tidak sah.

"Selain itu, perlu juga meletakkan syarat tambahan kepada warga asing yang memasuki sempadan negara dengan menunjukkan dokumen perjalanan yang sah dan menambah baik syarat yang sedia ada seperti surat jaminan daripada pihak yang berkepentingan," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28