Pantau pemain kacukan dalam Liga-M

Khalid Ali
Khalid Ali
A
A
A

PENAMPILAN beberapa pemain kacukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini membuka peluang buat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merekrut mereka beraksi bersama skuad Harimau Malaya.

Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali berkata, kehadiran pemain berdarah campuran itu akan menambahkan kualiti Harimau Malaya dan ia bertepatan dengan misi FAM untuk menyenaraikan lebih ramai pemain naturalisasi dan kacukan dalam pasukan kebangsaan.

“Bagi saya, kehadiran beberapa pemain kacukan yang beraksi dalam Liga-M sebenarnya memberikan peluang kepada FAM menyerap mereka dalam pasukan kebangsaan.

“Sudah tentu ia langkah baik sekiranya FAM dapat untuk membawa mereka bermain bersama Harimau Malaya, apatah lagi kebanyakan pemain kacukan ini mempunyai pengalaman beraksi di luar negara.

“Mengambil ramai pemain kacukan dalam pasukan kebangsaan bagi saya bukan satu masalah sebab mereka juga merupakan warganegara dan tiada isu yang boleh dipertikaikan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sejak beberapa musim lalu, beberapa pemain kacukan telah mewakili beberapa pasukan yang beraksi dalam saingan Liga-M.

Antara pemain kacukan yang menghiasi saingan Liga-M musim ini antaranya Curran Singh Ferns (Malaysia-Australia); Rodney Celney Akwensiwi (Malaysia-Ghana), David Rowley (Malaysia-Australia),Stuart James Wilson Wark (Malaysia-Scotland) dan Nicholas Ryan Swirad (Malaysia-England).

Malah, terdapat beberapa lagi pemain kacukan yang dilihat mencuba nasib dengan beberapa pasukan Liga Super apabila turut menjalani sesi latihan menjelang saingan Liga-M musim ini.

Artikel Berkaitan:

Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe ketika ini dibarisi beberapa pemain kacukan seperti Brendan Gan (Selangor); Matthew Davies (Pahang) dan La’Vere Corbin-Ong (JDT).

Mengulas lanjut, Khalid berkata, FAM harus terlebih dulu menilai pemain kacukan tersebut dan tidak hanya ‘tangkap muat’ untuk memastikan mereka mempunyai kualiti yang dimahukan Harimau Malaya.

“Sudah tentu FAM kena kenal pasti pemain-pemain terbabit. Kena tengok adakah mereka mempunyai kualiti yang dimahukan. Pemain kacukan ini juga perlu buktikan bahawa mereka layak bermain dan mempunyai bakat yang lebih bagus berbanding pemain tempatan.

“Saya percaya jika mereka mampu membantu Harimau Malaya, kita akan mampu melangkah jauh apatah lagi kita berdepan kesukaran untuk mendapatkan pemain naturalisasi dalam dua tahun akan datang,” ujarnya.