Lima penghantar makanan didakwa membunuh

Lima penghantar makanan yang tular dalam kejadian pukul dan ikat seorang pemandu kereta minggu lalu didakwa di Mahkamah Majistret di Bangi pada Selasa.
Lima penghantar makanan yang tular dalam kejadian pukul dan ikat seorang pemandu kereta minggu lalu didakwa di Mahkamah Majistret di Bangi pada Selasa.
A
A
A

BANGI - Lima penghantar makanan yang tular dalam kejadian pukul dan ikat seorang pemandu kereta minggu lalu didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, atas satu tuduhan membunuh.

Tertuduh ialah Mohd Yuree Ranoff Mohd Bachuri, 41, Azharul Azuan Mohd Azan, 34, Tengku Izham Tengku Hamid, 22, Mahazir Nordin, 43, dan Syamsul Qamar Ayob, 40.

Kesemua lelaki itu mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurdiyanah Mohd Nawawi.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membunuh seorang pekerja sendiri, Shahril Samad, 41, di Jalan TPS 2/3 Taman Pelangi Semenyih 2, Beranang di sini pada jam 9.54 malam, 20 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah disebat sebanyak 12 kali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman manakala semua tertuduh diwakili peguam, Mohd Hafiz.

Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 25 April depan untuk serahan status forensik, laporan kimia dan bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, selepas prosiding seorang lelaki dipercayai ahli keluarga mangsa, menjerit “bang, kau tunggu” ke arah kesemua tertuduh.

Bagaimanapun, lelaki itu ditenangkan ahli keluarganya sebelum diminta keluar oleh pihak polis.

Sebelum ini media melaporkan, seorang lelaki bukan sahaja ditarik keluar dari kereta oleh orang awam selepas kemalangan, bahkan tangannya diikat dan dia dipukul hingga maut.

Kejadian tragis itu berlaku selepas lelaki terbabit yang memandu kereta jenis Proton Saga terbabit kemalangan dengan penghantar makanan.

Sejurus kemalangan itu, mangsa dikejar orang awam hingga ke Taman Pelangi Semenyih 2 sebelum keretanya terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28