Solace bakal tembusi pasaran tempatan dengan 'Embun'

Mesin AWG yang mudah disambungkan ke bekalan elektrik boleh digunakan di mana-mana sahaja termasuk ketika berdepan masalah bekalan air atau di pusat pemindahan banjir bagi kegunaan pasukan keselamatan. Pengarah Solace, Dannial Razali menunjukkan produk 'Embun' iaitu air minuman beralkali yang bakal memasuki pasaran tempatan.
Mesin AWG yang mudah disambungkan ke bekalan elektrik boleh digunakan di mana-mana sahaja termasuk ketika berdepan masalah bekalan air atau di pusat pemindahan banjir bagi kegunaan pasukan keselamatan. Pengarah Solace, Dannial Razali menunjukkan produk 'Embun' iaitu air minuman beralkali yang bakal memasuki pasaran tempatan.
A
A
A

SYARIKAT peneraju teknologi mesin penghasilan 'air daripada udara', Solace Synergy Sdn Bhd (Solace) bakal memperkenalkan produk minuman beralkali jenama baharu iaitu 'Embun' pada bulan depan.

Entiti yang ditubuhkan pada 2019 itu berjaya bangkit semula selepas terkesan dengan pandemik Covid-19 itu selain komited melabur sebanyak RM1.5 juta untuk projek tersebut menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Pengarahnya, Dannial Razali berkata, kejayaan berkenaan membolehkan Solace memasarkan 'Embun' melalui wakil pengedar tunggal, Daain Synergy Sdn Bhd di bawah rangkaian produk mereka sendiri iaitu Nature Made.

Menurut beliau, Embun dianggap istimewa kerana mempunyai kandungan alkali pada tahap sembilan dan ketulenan yang tinggi berbanding sumber air lain, sekali gus membezakannya dengan air mineral biasa.

“Sasaran utama produk ini adalah golongan mahu menjaga dan mementingkan kesihatan termasuk orang muda yang aktif bersukan.

“Kajian perubatan menunjukkan bahawa pengambilan air dengan nilai pH tinggi seperti ini membantu melancarkan aliran darah terutamanya selepas aktiviti fizikal yang lasak.

“Ia bukan sahaja dapat menghilangkan dahaga tetapi turut melawan penyakit osteoporosis, menstabilkan tekanan darah dan melegakan usus serta perut dengan meneutralkan asid refluks,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sebagai permulaan, pihaknya menyasarkan untuk menguasai lima peratus pasaran tempatan dan akan mengeluarkan sekitar 62,000 pek air sebulan sebelum ditingkatkan mengikut permintaan.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, Solace juga menggunakan teknologi sama untuk menghasilkan air yang kebiasaannya digunakan dalam proses rawatan dialisis dalam masa terdekat kerana merasakan potensinya sangat besar.

“Penghasilan ‘air daripada udara’ dibuat menggunakan mesin Atmospheric Water Generator (AWG) oleh anak-anak tempatan dengan kerjasama Profesor Madya Dr Ammar Zakaria iaitu antara saintis terkemuka dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

“Dengan mesin teknologi ini, kami boleh mengubah udara di sekeliling kepada air minuman yang tinggi piawaiannya selain benar-benar tulen dan bersih.

“Kami meniru proses yang berlaku secara semula jadi sepertimana terhasilnya air embun di waktu pagi dan menjadikannya beralkali untuk memberikan lebih manfaat kepada pengguna,” ujar Dannial lagi.

Sementara itu, pihaknya menegaskan bahawa AWG mematuhi piawaian kualiti pihak berkuasa nuklear tempatan serta mempunyai sijil pengiktirafan dari Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM Berhad).

“Penggunaan mesin kami telah diuji di pelantar minyak di tengah laut, ia terbukti berfungsi dengan baik dan boleh dipercayai.

“Ia juga mudah disambungkan kepada bekalan elektrik menjadikannya sesuai untuk kawasan yang berdepan masalah bekalan air atau dalam situasi kecemasan di pusat pemindahan ketika berlakunya banjir.

“Solace bukan sahaja menyediakan bekalan air alternatif yang selamat, bersih dan tulen tetapi juga membawa teknologi tempatan ke peringkat global,” jelas beliau.