Saingan Cub Prix buka tirai di Melaka

Yamaha Y15ZR menjadi hadiah utama cabutan bertuah buat penonton dalam saingan Cub Prix Jasin Bestari, Melaka bermula Sabtu.
Yamaha Y15ZR menjadi hadiah utama cabutan bertuah buat penonton dalam saingan Cub Prix Jasin Bestari, Melaka bermula Sabtu.
A
A
A

BANDAR Jasin Bestari, Melaka akan menjadi venue bagi aksi pembuka tirai kejuaraan Petronas Cub Prix MAM Malaysia musim 2024.

Kejuaraan motosikal tertua negara itu dijadualkan berlangsung pada 2 dan 3 Mac ini.

Ia sudah pastinya menjadi kebanggaan buat warga Jasin dan Melaka kerana sekali lagi dipilih sebagai tuan rumah kejuaraan berprestij ini selepas kejayaan menganjurkan perlumbaan Pusingan 3 kejuaraan yang sama pada Mei tahun lepas.

Kejuaraan tahunan itu bakal tampil lebih hebat dengan kemunculan beberapa pasukan baharu dan perkembangan tersebut sudah pasti akan memberi kepuasan kepada penonton khususnya peminat sukan permotoran dua roda.

Bagi menyerikan lagi saingan di Jasin hujung minggu ini, beberapa acara sampingan turut dianjurkan oleh pihak penganjur bagi memberi kepuasan serta hiburan kepada pengunjung.

Antara acara sampingan yang bakal diadakan termasuk gerai jualan makanan dan minuman, khemah promosi daripada penaja kejuaraan yang turut menjual produk keluaran masing-masing.

Tarikan utama ialah jualan Cub Prix Happy Bag serta beraneka jenis cenderahati Cub Prix termasuk baju-T untuk dewasa dan kanak-kanak, topi, alat pemegang kunci dan payung.

CP Happy Bag yang mendapat sambutan luar biasa daripada pengunjung musim lalu akan dijual pada harga RM65 satu set dan beg tersebut mengandungi baju-T edisi terhad, minyak pelincir Petronas Sprinta, minuman bertenaga Ranger dan pelekat Cub Prix.

Artikel Berkaitan:

Bagi setiap pembelian satu set CP Happy Bag, pengunjung akan mendapat satu kupon cabutan bertuah, manakala untuk pembelian dua set, mereka akan diberikan tiga kupon cabutan bertuah.

Menurut Pengurus Pemasaran dan Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd, Yvonne Ng, bagi saingan di Jasin Bestari, hadiah utama cabutan bertuah CP Happy Bag adalah sebuah motosikal Yamaha Y15ZR atau lebih dikenali sebagai Yamaha Y suku.

Yvonne
Yvonne

“Beberapa hadiah menarik yang lain turut disediakan untuk pemenang cabutan bertuah CP Happy Bag.

“Jika anda mahu membawa pulang sebuah motosikal, pastikan membeli CP Happy Bag di booth CP Happy Bag sepanjang perlumbaan Cub Prix di Jasin Bestari nanti,” ujar Yvonne.

Majlis cabutan bertuah akan diadakan pada jam 5 petang Ahad ini di pentas utama.

Aktiviti lain yang turut diadakan adalah Jom! Berselfie di Cub Prix.

Cara penyertaan mudah sahaja yang hanya memerlukan para pengunjung merakam gambar kenangan atau berselfie dengan berlatar belakang kios CP Happy Bag atau mana-mana booth penaja kejuaraan itu di setiap pusingan atau venue.

Foto selfie tersebut perlu dimuat naik dalam akaun sosial media Instagram atau Tik Tok masing-masing dengan tajuk 'Momen di Cub Prix 2024' dan setiap peserta merupakan 'follower' akaun sosial media msiancubprix dan CP Happy Bag.

Setiap posting perlu 'hashtag' msiancubprix (IG); CP_HappyBag (IG) dan cphappybag (Tik Tok).

Hantaran boleh dibuat bermula pada Sabtu iaitu hari pertama perlumbaan pada setiap pusingan kejuaraan Cub Prix.

Lima hantaran pertama yang mendapat 100 tanda suka akan menerima hadiah baju-T eksklusif, manakala yang berikutnya akan menerima hadiah saguhati.

Sebaik mendapat 100 'likes', peserta boleh menuntut hadiah masing-masing di booth CP Happy Bag sama ada pada Sabtu atau Ahad.

Tuntutan hadiah akan ditutup pada jam 4 petang Ahad iaitu hari final perlumbaan Cub Prix.