Iktiraf Kampung Jalan Stesen sebagai kampung baru

Angeline semasa mengambil bahagian dalam sesi perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Isnin.
Angeline semasa mengambil bahagian dalam sesi perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji mencadangkan agar Kampung Jalan Stesen dekat Kampar diiktiraf sebagai kampung baru.

Angeline Koo Haai Yen daripada DAP berkata, pengiktirafan itu disyorkan susulan kelulusan Notis 5A yang diberikan kerajaan negeri kepada 37 penduduk di kawasan itu.

"Sebelum ini Kampung Jalan Stesen tidak mempunyai geran, selepas Notis 5A dianugerahkan, saya berharap kerajaan negeri boleh mengiktiraf penempatan ini sebagai kampung baru.

"Pengiktirafan ini nanti bukan sahaja menjadikannya sebagai kampung baru ketiga dalam DUN Keranji, tetapi lebih penting membolehkan peruntukan disalurkan untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur," katanya dalam sesi perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Isnin.

Beliau berkata, atas keprihatinan kerajaan negeri dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG), penduduk di situ juga diberi diskaun premium tanah dengan caj nominal RM5,000 untuk setiap rumah tanpa mengira saiz tanah.

"Usaha ini menunjukkan kerajaan Perak prihatin dan berusaha menyelesaikan isu tanah yang belum dapat diselesaikan selama berpuluh-puluh tahun sebelum ini dengan memberikan geran kepada mereka yang layak," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: