Kes influenza: Segera atasi kekurangan ubat

Negara kini sedang berdepan dengan peningkatan kes influenza.
Negara kini sedang berdepan dengan peningkatan kes influenza.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor menggesa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mengambil langkah segera dalam mengatasi isu perbekalan ubat yang berkurangan ketika negara kini sedang berdepan dengan peningkatan kes influenza.

Ketuanya, Hanafi Zulkapli berkata, walaupun pendedahan mengenai kekurangan perbekalan ubat itu bukannya bertujuan untuk menimbulkan panik namun dalam perspektif Islam, aspek kesihatan amat dititik beratkan bersesuaian dengan konsep Maqasid Al Syariah.

Beliau berkata, kerajaan negeri boleh mempertimbangkan bagi memperuntukkan sebahagian dana untuk membantu rakyat dalam usaha mendapatkan vaksinasi influenza.

Hanafi
Hanafi

"Influenza bukan sebahagian daripada Program Imunisasi Kebangsaan yang memberi vaksinasi percuma kepada 12 penyakit di klinik kerajaan.

"Melalui langkah ini, ia adalah sebagai tanda keprihatinan peringkat kerajaan terhadap rakyat di bawah," katanya.

Sebelum ini, Pakar Pediatrik, Dr Musa Mohd Nordin menyuarakan kebimbangan susulan peningkatan kes penyakit influenza di negara ini yang menyebabkan berlaku kekurangan bekalan ubat anti virus.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, isu itu dibangkitkannya bukan untuk menimbulkan panik tapi bagi menggalakkan vaksinasi influenza.

Mengulas lanjut, Hanafi berkata, Pemuda Pas Selangor juga menyokong usaha bagi pencegahan influenza ini menerusi galakan vaksinasi.

"Tanpa penjagaan kesihatan, penyakit yang menyerang boleh memberikan kesan kepada produktiviti sesebuah negara.

"Kempen berterusan mengenai kesihatan perlu diperkasakan lagi oleh kerajaan agar perkara ini dapat dibendung awal," katanya.

Dalam pada itu, Hanafi turut menyarankan agar entiti pendidikan di bawah Pemuda Pas seperti Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) dan Sekolah Rendah Integrasi Tunas Islam (SRITI) wajar melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap murid masing-masing.

Katanya, ibu bapa juga disaran membawa anak-anak yang mempunyai simptom awal seperti batuk dan demam untuk mendapatkan rawatan segera di klinik bagi mendapatkan nasihat doktor.