Kemarau: JBPM kenal pasti 605 'hotspot' kebakaran terbuka

Nor Hisham bercakap kepada media pada Program Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Sijil 30 Tahun dan Sijil Khidmat Terpuji PBB Tahun 2023 di sebuah hotel di Kuala Nerus hari ini. Foto: Bernama
Nor Hisham bercakap kepada media pada Program Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Sijil 30 Tahun dan Sijil Khidmat Terpuji PBB Tahun 2023 di sebuah hotel di Kuala Nerus hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA NERUS - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenal pasti 605 lokasi di seluruh negara yang berisiko berlaku kebakaran terbuka pada musim kemarau.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, lokasi tumpuan berkenaan termasuk kawasan gambut, tapak pelupusan sampah haram dan tapak pelupusan yang diselia oleh Pihak Berkuasa Tempatan.

Menurutnya, kejadian kebakaran terbuka direkodkan oleh JBPM pada tahun lepas adalah sebanyak 13,906 kes berbanding 9,596 kes pada tahun 2022.

Dalam pada itu, Nor Hisham menasihati orang ramai khususnya supaya tidak melakukan pembakaran secara terbuka.

"Saya berharap tidak ada individu yang sewenang-wenangnya mengambil langkah mudah dengan membuat pembakaran terbuka untuk pembukaan kawasan pertanian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2023 dan Sijil 30 Tahun Perkhidmatan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Negeri Terengganu di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata, selain terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk memadamkan kebakaran, pihaknya terpaksa menempatkan lebih ramai anggota di lokasi pembakaran terbuka yang kebanyakan berada jauh di pedalaman.

Menurutnya, ia menyukarkan operasi memadamkan kebakaran di kawasan lain terutama bandar sekiranya kekurangan anggota.

Artikel Berkaitan:

"Kerisauan kita apabila respons kawasan lalang dan belukar ini selalunya ambil tempoh yang lama untuk memadamkan kebakaran menggunakan logisitik yang banyak dalam jabatan.

"Keadaan ini menyebabkan berlaku lompang perlindungan untuk keselamatan kebakaran struktur di kawasan-kawasan perbandaran.

"Jadi kita terpaksa agihkan anggota kita tersebut (di kawasan terlibat). Apabila kita buat agihan itu menyebabkan lompang itu akan wujud.

"Kalau dari peringkat awal masyarakat sama-sama bekerjasama dengan kita maka kita jangkakan lompang itu akan berkurangan," katanya.

Justeru, Nor Hisham menyeru kepada orang ramai supaya cakna kepada isu berkaitan musim kemarau yang dijangka berlaku pada Mac ini bagi memastikan dapat mengurangkan risiko pembakaran terbuka.

Sementara itu, Nor Hisham berkata, pihaknya kini sedang menubuhkan satu jawatankuasa bagi menjalankan siasatan terperinci melibatkan seorang anggota bomba mati lemas ketika melakukan kerja menyelenggara bot di Jeti Pangkalan Marin JBPM Mak Mandin, Pulau Pinang.

"Punca kematian awal dari forensik adalah lemas dan kita akan tubuh jawatankuasa susulam kita ada manual prosedur keselamatan dan kesihatan pekerja yang digunakan oleh jabatan.

"Dalam konteks ini, siasatan itu akan dibuat di peringkat ibu pejabat untuk kita tengok bagaimana situasi menjurus pada insiden di mana siasatan tersebut dijalankan pada tempoh dua minggu," ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang anggota bomba mati lemas ketika melakukan kerja menyelenggara bot di Jeti Pangkalan Marin JBPM Mak Mandin, Pulau Pinang.

Mohd Izwan Ilias, 42, yang juga anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth dikatakan terjatuh ke dalam sungai di kawasan itu ketika menyelenggara bot penyelamat.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28