'Tidak perlu Kod Etika Wartawan Malaysia sebegini'

Lee Lam Thye
Lee Lam Thye
A
A
A

ADAKAH Kod Etika Wartawan Malaysia yang dilancarkan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil benar-benar perlu?

Sejujurnya pada pendapat peribadi saya ia sesuatu yang tidak dirasakan perlu.

Tanyalah mana-mana wartawan profesional di negara ini, dan saya pasti mereka akan sependapat dengan saya dan berkata tidak perlu kod sebegini.

Ini kerana kod sedemikian mempunyai satu konotasi negatif dalam bidang kewartawanan.

Ia mewujudkan tanggapan bahawa wartawan boleh terdedah kepada amalan tidak beretika dalam mendapatkan sumber dan menyiarkan berita, editorial dan artikel rencana.

Semua wartawan tahu bahawa jika mereka terlibat dalam amalan tidak beretika dalam mengejar profesion mereka, ia akan menjadi penutup rezeki buat mereka.

Mereka kemudiannya akan kehilangan kredibiliti mereka, pembaca mereka, reputasi mereka dan pekerjaan mereka. Tiada wartawan profesional yang menghormati diri sendiri akan mengambil risiko itu.

Sekiranya kod kewartawanan sedemikian dirasakan perlu, ia hendaklah digunakan hanya kepada penyokong dan penyampai berita palsu.

Artikel Berkaitan:

Walau bagaimanapun berita palsu bukanlah kerja wartawan profesional.

Penulis berita palsu media sosial tanpa nama tidak mempunyai sebarang bentuk latihan, pertimbangan etika dan hati nurani.

Mereka-mereka ini wujud hanya untuk membuat keuntungan yang cepat atau untuk membuat kerosakan disamping menyemai benih perselisihan.

Fahmi ketika Majlis Peluncuran Kod Etika Wartawan Malaysia di Putrajaya baru-baru ini.
Fahmi ketika Majlis Peluncuran Kod Etika Wartawan Malaysia di Putrajaya baru-baru ini.

Oleh itu, ia merupakan satu usaha yang sia-sia untuk memastikan mereka mematuhi sebarang bentuk kod etika.

Semua wartawan profesional adalah pengamal media yang bertanggungjawab.

Mereka semua sedar akan undang-undang negara.

Tindakan mengenakan apa-apa jenis kod pada mereka boleh diumpamakan seperti kinantan hilang taji.

Ya, idea semata-mata dalam mewujudkan kod itu mungkin berniat baik, tetapi adakah pandangan pengamal media diperolehi sebelum memutuskan isu itu?

Ini penting kerana risiko yang wujud yang berkaitan dengan langkah sedemikian boleh memberi kesan kepada akhbar yang bebas dan tidak berpihak.

Kod etika yang dikuatkuasakan oleh kerajaan mungkin secara tidak sengaja menyusahkan wartawan, menyebabkan mereka teragak-agak untuk melaporkan isu-isu yang boleh dianggap sebagai anti-kerajaan.

Jika wartawan terpaksa mematuhi kod yang dikenakan kerajaan, orang ramai mungkin mempersoalkan kesahihan dan kesaksamaan maklumat yang disampaikan. Kesangsian ini boleh menghakis kepercayaan orang ramai terhadap media.

Daripada pendekatan atas ke bawah, adalah lebih baik untuk memupuk kewartawanan beretika melalui pengawalan kendiri.

Wartawan dan organisasi media harus digalakkan untuk membangun dan mematuhi kod kelakuan mereka sendiri, dengan menekankan prinsip seperti ketepatan, keadilan dan akauntabiliti.

Sebaliknya, cadangan Majlis Media Malaysia adalah satu langkah yang patut dipuji kerana ia membayangkan penubuhan peraturan dan undang-undang oleh industri itu sendiri.

Badan sebegini akan lebih adil kerana dapat menjamin kepentingan semua pihak, termasuk kerajaan, pembangkang, dan orang ramai.

* Tan Sri Lee Lam Thye, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat