Hadiah hari lahir Mat Ropi

Mat Ropi (kiri) menahan asakan daripada Denkao.
Mat Ropi (kiri) menahan asakan daripada Denkao.
A
A
A

PETINJU Kelab Muay Thai Kuda Merah PDRM, Mohd Rafi Abdul Manaf menerima hadiah hari lahir yang cukup bermakna selepas menewaskan wakil Thailand, Wan Muhammad Kittyyamat daripada Kelab Red Wolves di pentas 'King of The Ring' Kejohanan JWP-DBKL Kuda Merah Muay Thai Challenge 2024 pada Sabtu.

Bagaimanapun, kemenangan yang diraih itu tidak mudah apabila Mohd Rafi atau lebih dikenali sebagai Mat Ropi menerima tentangan sengit daripada petinju dengan gelaran Denkao San itu sebelum pertarungan ditentukan dengan kiraan mata.

Kedua-dua petinju juga menampilkan aksi agresif dalam pertarungan lima pusingan itu, namun juri menilai kelebihan memihak kepada Mat Ropi sekali gus merangkul Tali Pinggang Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Bagi Mat Ropi, kemenangan itu merupakan rezeki baginya apatah lagi kiraan mata sangat hampir dan sukar baginya untuk menewaskan Denkao San.

“Bagi saya, Denkao merupakan petinju yang sangat hebat dan kiraan mata adalah 50-50 dengan sesiapa sahaja boleh menang.

“Saya agak gementar sebelum keputusan diumumkan. Ini juga pertama kali beraksi pada hari lahir dan syukur kemenangan berpihak kepada saya,” katanya selepas perlawanan.

Untuk rekod, seramai 28 petinju muay thai dalam dan luar negara akan berentap merebut gelaran dalam kejohanan edisi ke-73 di Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur itu.

Sebanyak tujuh pertarungan disajikan kepada penonton yang hadir dengan beberapa perlawanan menjadi tumpuan pada hari pertama itu.

Artikel Berkaitan:

Antara yang mencuri tumpuan adalah pertarungan bagi kategori wanita yang menyaksikan petinju dari Cosmic Johor, Dhamia Khaulah mencipta kejutan menewaskan Raja Izaty dari kelab Head Hunter Perak untuk merangkul tali Pinggal SimplySiti.

Selain itu, aksi sengit juga ditampilkan pada pertarungan merebut Tali Pinggang Tourism Malaysia apabila Haikal dari Hallo Fight Club menewaskan Akid Mikdam menerusi kiraan mata.

Keputusan TKO juga mewarnai saingan tersebut apabila Hazami daripada PDRM Pulapol Kuala Lumpur berjaya menumbangkan Syakir daripada FGTS Muaythai Gym untuk merangkul Tali Pinggang Komanden Pulapol.

Petinju daripada kelab Shark Muaythai, Kin Kai Tze pula menewaskan Ikmal Arief Kamarul Azlan manakala Tali Pinggang Lah Sany diraih Zul Fazlie Shahmi Zaizul daripada kelab FDM Muaythai selepas menewaskan Ahmad Hafizi daripada Jordan Top Team.