Lima kereta, 11 motosikal musnah dalam kebakaran bengkel

Dua buah bengkel membaiki kenderaan terbakar dalam kejadian di Taman Keladi, Sungai Petani, Kedah pada awal pagi Isnin. Foto bomba
Dua buah bengkel membaiki kenderaan terbakar dalam kejadian di Taman Keladi, Sungai Petani, Kedah pada awal pagi Isnin. Foto bomba
A
A
A

SUNGAI PETANI - Sebanyak 16 kenderaan membabitkan 11 motosikal dan lima kereta musnah dalam kebakaran bengkel di Taman Keladi di sini, pada awal pagi Isnin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba I, Ismail Mohd Zain berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba Penyelamat Kedah menerima panggilan memaklumkan bahawa terdapat kebakaran bengkel membaiki kenderaan pada jam 5.23 pagi.

Menurutnya, PGO kemudian mengarahkan jentera bersama ‘water tanker’, EMRS BBP Sungai Petani dan Pasukan Bantuan BBP Amanjaya ke lokasi kejadian.

“Pasukan tiba di lokasi mendapati terdapat kebakaran bengkel kereta dan motosikal. Anggaran keluasan kawasan terbakar ialah 6 x 24 meter persegi.

“Tindakan operasi pemadaman menggunakan dua aliran salur bantu mula, dua aliran 30 meter dan dua pancutan dari jentera dan dibantu pasukan bantuan,” katanya pada Isnin.

Ismail berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.45 pagi yang melibatkan dua buah bengkel membaiki kenderaan.

"Kebakaran tersebut telah memusnahkan lima buah kereta dan 11 buah motosikal.

“Operasi tamat pada jam 6.36 pagi dan punca kebakaran masih lagi dalam siasatan,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan: