Buku Prima lancar novel seram Doppelganger

Nurul Syahida
Nurul Syahida
A
A
A

KUALA LUMPUR - Buku Prima melancarkan sebuah novel seram baharu berjudul Doppelganger yang diinspirasikan daripada kisah benar gangguan hantu dan misteri di sekolah berasrama.

Penulisnya, Nurul Syahida Kamarudin berkata, novel tersebut padat dengan perkongsian dua individu yang menjadi tempat luahan warga sebuah sekolah asrama penuh terkena gangguan syaitan atau iblis.

Nurul Syahida menurunkan tandatangan sebagai simbolik pelancaran novel Doppelganger di Pasar Seni, Kuala Lumpur pada Ahad.
Nurul Syahida menurunkan tandatangan sebagai simbolik pelancaran novel Doppelganger di Pasar Seni, Kuala Lumpur pada Ahad.

“Novel ini sangat sesuai untuk semua peringkat usia terutamanya peminat bergenre seram dan orang muda kerana ia sangat sinonim dengan kejadian yang berlaku di asrama ketika zaman sekolah.

“Ia mengandungi 10 tajuk di dalamnya hasil penceritaan perkongsian kisah seram yang berbeza dari bekas pelajar asrama di sebuah sekolah agama dikenali Hadi dan Dot,” katanya kepada Sinar Harian.

Majlis pelancaran novel berkenaan diadakan di Pasar Seni, di sini bersempena hari terakhir Kuala Lumpur Alternative Bookfest (KLAB) pada Ahad.

Tambah Nurul Syahida, antara tajuk menarik dan menyeramkan ialah Pintu tandas asrama yang tiba-tiba terbuka?, Kenapa pula dengan cermin nombor tiga ASPURA?, Bagaimana dengan hantu separuh rekaan Sawi dan Manggis? dan Siapa Mak Cik Bengkok?“Semoga pengisian novel saya ini dapat memenuhi citarasa peminat cerita seram dan boleh menggembirakan hati semua, ia memori ngeri yang mungkin antara kita pernah melaluinya satu masa yang lalu.

“Saya juga bekas pelajar sekolah berasrama penuh sebelum ini dan pernah merasai pengalaman hidup dihantui kisah mistik seperti itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ketua Jabatan Pemasaran Grup Buku Karangkraf (Karangkraf), Anis Syamila Abdul Halim pula berkata, sambutan novel Doppelganger sangat memberangsangkan kerana dalam masa seminggu sahaja pihaknya telah menjual lebih 500 naskhah.

Nurul Syahida (tengah) bersama staf Buku Prima selepas melancarkan novel seram, Doppelganger.
Nurul Syahida (tengah) bersama staf Buku Prima selepas melancarkan novel seram, Doppelganger.

Katanya, Grup Buku Karangkraf antara yang terawal mengeluarkan novel bergenre seram pada tahun ini.

“Kami menyasarkan sambutan lebih hangat pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) akan datang, orang ramai boleh dapatkan novel berkenaan di semua platform pembelian di Karangkraf Mall termasuk laman sesawang, Shopee, Lazada dan TikTok serta kedai buku berhampiran bermula 1 Mac ini,” katanya.

Sementara itu, menurut Eksekutif Pemasaran Buku Prima, Muhammad Aizuddin Jamali, peminat novel atau orang ramai boleh mengikuti laman TikTok Buku Prima untuk mengetahui keluaran terkini dan promosi novel-novel keluaran syarikat itu selain terdapat juga beg kuning untuk memudahkan pembelian.

Nurul Syahida melayani peminat selepas majlis pelancaran novel Doppelganger di Pasar Seni, Kuala Lumpur pada Ahad.
Nurul Syahida melayani peminat selepas majlis pelancaran novel Doppelganger di Pasar Seni, Kuala Lumpur pada Ahad.

Ujar beliau, kini pihaknya lebih memfokuskan laman aplikasi TikTok di mana ia lebih senang dan dekat dengan pembaca.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28