Jambatan Pulau Pinang bukan jalan terakhir

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

RAKYAT Pulau Pinang sudah semestinya boleh berbangga dengan keistimewaan Jambatan Pulau Pinang yang panjangnya 13.5 kilometer, termasuk 8.4 kilometer merentasi laut. Seperti sedia maklum, ia merupakan jambatan kedua terpanjang di Malaysia dan kelima terpanjang di Asia Tenggara.

Namun, agak mengecewakan, jambatan yang dibuka pada 1985 itu kini menjadi lokasi pilihan bagi mereka yang menghadapi masalah terutamanya isu peribadi.

Jambatan Pulau Pinang sering kali menjadi pilihan untuk menamatkan riwayat apabila masalah yang dihadapi gagal untuk diselesaikan. Ada yang berjaya diselamatkan dan sebaliknya.

Menurut laporan akhbar, sehingga Januari lalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang menerima 45 panggilan kecemasan berhubung kes mangsa terjun atau ancaman bunuh diri di Jambatan Pulau Pinang sejak dua tahun lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 19 kes dilaporkan pada 2023 membabitkan 13 lelaki dan enam perempuan yang berusia lingkungan 15 hingga 52 tahun. Seramai 10 daripadanya berjaya diselamatkan manakala sembilan lagi gagal.

Selain Jambatan Pulau Pinang, Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah yang juga dikenali sebagai Jambatan Kedua Pulau Pinang turut menjadi pilihan golongan yang mempunyai gangguan emosi ini.

Mengapa perlu menamatkan nyawa dengan jalan yang singkat? Semua masalah ada jalan penyelesaiannya.

Mungkin benar, mereka yang terkesan pasti berada dalam tekanan perasaan yang tidak tertanggung lagi. Ia satu perbuatan yang sangat peribadi.

Artikel Berkaitan:

Jika kita imbau beberapa kes yang tular sebelum ini, masalah mereka ini dapat diketahui sekiranya mangsa berjaya diselamatkan atau mangsa sendiri mampu berenang selepas terjun dari jambatan.

Kes pertama, seorang remaja perempuan bertindak terjun dari Jambatan Pulau Pinang selepas dipercayai kecewa susulan dua kali gagal dalam ujian memandu. Dia bagaimanapun ditemui selamat setelah dua hari operasi pencarian oleh bomba.

Mangsa dipercayai berenang ke arah bangunan berbumbung biru sebelum tersangkut pada pokok bakau di kawasan berlumpur berhampiran pelabuhan.

Kes kedua yang menarik perhatian, seorang lelaki bertindak terjun dari jambatan selepas menetak seorang wanita di Jalan Raja Uda, Butterworth.

Suspek berjaya diselamatkan oleh nelayan selepas terjun dari Jambatan Pulau Pinang.

Mangsa yang parah disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan menyebabkan suspek dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terbaru, seorang wanita ditolak kekasihnya selepas pasangan itu bertengkar di dalam sebuah kereta.

Difahamkan, wanita berusia 40 tahun yang merupakan pekerja kilang ditolak teman lelakinya yang berusia 37 tahun, seorang pegawai kanan polis.

Selepas menolak teman wanitanya, suspek turut terjun dari jambatan. Kedua-dua mangsa bagaimanapun diselamatkan seorang anggota tentera yang bertindak terjun sebelum menarik mangsa ke atas bot nelayan yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

Kenapa nak pilih jalan singkat? Jika berada di dalam keadaan yang buntu, rasa ‘sempit’, mengambil nyawa sendiri bukan langkah terbaik. Hidup ini hanya sekali, nikmatilah.

Memetik sebuah portal, Pakar Psikiatri Klinikal Hospital Pantai, Datuk Dr Mat Saad Baki berkata, rawatan atau kaunseling awal dilihat dapat membendung kejadian yang tidak diingini.

Sementara Pakar Perunding Psikiatri dan Pensyarah Kanan di Jabatan Perubatan Psikologi Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari pula berkata, masalah tekanan jiwa boleh dibendung daripada menjadi lebih parah, sekiranya orang ramai mampu mengenali petanda awal seseorang individu itu mengalami tekanan jiwa melalui karakter mereka.

Oleh itu, jika individu atau anda sendiri mengalami kemurungan tahap serius, mudah marah, bersedih dan selalu menyendiri dinasihatkan supaya segera menjalani pemeriksaan kaunseling. Jangan mudah mengalah, usah jadikan Jambatan Pulau Pinang sebagai pilihan terakhir anda.

* Syajaratulhuda Mohamad Rosli ialah wartawan Sinar Harian Utara

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28