KKM sedia SOP hadapi El Nino

Dzulkefly (kiri) memberikan sumbangan kepada warga emas pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Kuala Selangor di SJKC Yuk Chih, Bestari Jaya pada Sabtu malam.
Dzulkefly (kiri) memberikan sumbangan kepada warga emas pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Kuala Selangor di SJKC Yuk Chih, Bestari Jaya pada Sabtu malam.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi menghadapi fenomena El Nino yang diramal melanda negara sehingga Jun depan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu antaranya melibatkan kesiapsiagaan semua fasiliti kesihatan dan pemantauan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negara.

Menurutnya, SOP yang ditetapkan kementeriannya itu mengambil kira faktor cuaca panas ketika ini termasuk keadaan jerebu.

"KKM mahu memastikan fasiliti kesihatan sentiasa bersedia dengan bekalan ubat-ubatan terutama penyakit berkaitan jangkitan mata dan pernafasan," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Kuala Selangor di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chih, Bestari Jaya pada Sabtu malam.

Dzulkefly memberitahu, pemantauan bacaan IPU itu akan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Sehubungan itu, katanya, kementeriannya turut akan meneruskan penyebaran bahan pendidikan kepada orang ramai.

Dzulkefly (duduk tengah) bergambar bersama-sama orang ramai pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Kuala Selangor di SJKC Yuk Chih, Bestari Jaya pada Sabtu malam.
Dzulkefly (duduk tengah) bergambar bersama-sama orang ramai pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Kuala Selangor di SJKC Yuk Chih, Bestari Jaya pada Sabtu malam.

"Kita memainkan peranan dalam memberi nasihat teknikal termasuk berkaitan penganjuran aktiviti sukan dan langkah penjagaan kesihatan.

Artikel Berkaitan:

"Semua SOP itu sudah ada dan akan dihebahkan kepada umum dalam waktu terdekat," ujar beliau.

Dalam pada itu, Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, KKM sentiasa sedia bekerjasama dengan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bagi membincangkan isu mengenai fenomena tersebut.

"Setakat ini keadaan masih terkawal dan saya difahamkan tiada berlaku kes strok haba serius.

"Perkara paling penting adalah kita sememangnya sudah bersedia dan mengikut SOP biasa termasuk melibatkan jerebu," tambah beliau.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Muhammad Helmi Abdullah memaklumkan El Nino dengan intensiti kuat yang melanda dunia ketika ini dijangka berterusan hingga pertengahan tahun ini.

Justeru, NRES akan mengadakan mesyuarat bersama pelbagai kementerian dan agensi bagi memastikan persediaan terbaik menghadapi kesan fenomena itu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28