Yusof terus cemerlang di India

Mohamad Yusof menumpaskan pencabarnya, Mohammaed Almarri dari Arab Saudi dalam saingan dua penjuru. - Foto fail Bernama
Mohamad Yusof menumpaskan pencabarnya, Mohammaed Almarri dari Arab Saudi dalam saingan dua penjuru. - Foto fail Bernama
A
A
A

PELUMBA berbasikal para negara, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin terus menampilkan kayuhan cemerlang pada Kejohanan Berbasikal Trek Para Asia 2024 di New Delhi apabila merangkul emas keempat menerusi acara kejar mengejar individu lelaki, C1 (kecacatan fizikal), pada Sabtu.

Mohamad Yusof menumpaskan pencabarnya, Mohammaed Almarri dari Arab Saudi dalam saingan dua penjuru sekali gus menambah koleksi emas di India selepas meraih pecut berpasukan campuran C1-5 bersama Zuhairie Ahmad Tarmizi dan Muhammad Hafiz Jamali dan dua lagi emas acara individu iaitu perlumbaan scratch lelaki C1 dan ujian masa lelaki 1km C1 sebelum ini.

Kejayaan Mohamad Yusof diteruskan Muhammad Adi Raimie Amizazahan yang menyambar emas kejar mengejar individu lelaki C3 (kecacatan fizikal) meninggalkan wakil Indonesia, Tifan Abid Alana yang memenangi perak manakala Rashed Alahmari dari Arab Saudi meraih gangsa.

Kategori kejar mengejar individu lelaki C5 (kecacatan fizikal) pula menyaksikan Malaysia meraih perak dan gangsa masing-masing menerusi Zuhairie dan Muhammad Hafiz di belakang juara dari Indonesia, Sufyan Saori.

Sementara itu, skuad negara mendominasi acara kejar-mengejar tandem B (kecacatan penglihatan) lelaki dan wanita.

Mohd Khairul Hazwan yang dibantu Muhd Arfy Qhairant Amran unggul memenangi acara lelaki dengan mengecewakan rakan senegara, Ahmad Ahlami Mohamad sambil dibantu jurumudi Muhammad Khairul Adha untuk merangkul perak, pada aksi final yang membabitkan dua wakil sahaja.

Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais dengan dibantu jurumudi Farina Shawati Mohd Adnan pula tidak berdepan masalah menguasai saingan wanita untuk mengatasi Watcharobon Boonmalert bersama jurumudi Kanyarat Kesthonglang dari Thailand yang membawa pulang perak manakala gangsa milik satu lagi wakil negara, Nur Suraya Muhamad Zamri dan dibantu Nurul Suhada Zainal. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: