ICIM: Malaysia gesa kecaman keras terhadap pembunuhan wartawan di Gaza

Mohamad Fauzi melihat lukisan dan replika runtuhan yang menjadi simbolik perang di Gaza yang turut mengakibatkan lebih 120 wartawan terkorban. - Bernama
Mohamad Fauzi melihat lukisan dan replika runtuhan yang menjadi simbolik perang di Gaza yang turut mengakibatkan lebih 120 wartawan terkorban. - Bernama
A
A
A

ISTANBUL - Malaysia berharap Sesi Luar Biasa Persidangan Menteri-Menteri Penerangan Islam (ICIM) akan menyuarakan kecaman keras terhadap pembunuhan wartawan di Gaza, yang berani mendedahkan liputan berita secara langsung dari lapangan.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa berkata, lebih 120 wartawan telah terkorban (setakat 10 Februari) dalam serangan Israel ke atas Gaza, menimbulkan kebimbangan serius mengenai keselamatan mereka.

Beliau berkata, amanah yang digalas mereka tanpa mengharapkan sebarang balasan bukan sahaja memberitahu dunia tetapi juga memainkan peranan penting dalam menentang maklumat buruk yang disebarkan oleh Israel dan sekutunya.

"Walaupun kerajaan dan media Malaysia tidak boleh campur tangan secara langsung di zon konflik, mereka mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan itu. Meskipun mendapat kecaman daripada badan akhbar antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), keganasan terhadap wartawan berterusan tanpa henti," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Pegawai Kanan Persediaan Tertutup Sesi Luar Biasa ICIM negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di sini hari ini.

Lukisan dan replika runtuhan yang menjadi simbolik perang di Gaza yang turut mengakibatkan lebih 120 wartawan terkorban sejak perang Israel di Gaza bermula pada 7 Oktober 2023. - Bernama
Lukisan dan replika runtuhan yang menjadi simbolik perang di Gaza yang turut mengakibatkan lebih 120 wartawan terkorban sejak perang Israel di Gaza bermula pada 7 Oktober 2023. - Bernama

Mohamad Fauzi mengetuai delegasi Malaysia mewakili Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada persidangan sehari yang dijadualkan pukul 4 petang (waktu tempatan) pada Sabtu.

Beliau berkata, media dan kerajaan Malaysia telah menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Palestin di tengah-tengah konflik yang berlaku di Gaza, mengulangi komitmen Malaysia yang telah lama terjalin terhadap perjuangan Palestin.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, media dan pegawai kerajaan Malaysia menyedari kempen maklumat palsu oleh Israel dan pelbagai media pro-Israel.

"Sejak serangan tentera Israel ke atas Gaza pada 7 Oktober 2023, media Malaysia telah mengambil pendekatan proaktif dan adil dalam liputannya.

"Kandungan diperoleh daripada saluran yang boleh dipercayai, termasuk organisasi berbilang pihak seperti PBB, Pihak Berkuasa Palestin serta saluran media yang dipercayai seperti Agensi Berita Palestin (WAM) dan media negara Arab yang berdekatan,” katanya.

Dengan 20 perjanjian pertukaran berita dengan agensi berita Timur Tengah, Mohamad Fauzi berkata, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) telah memainkan peranan penting dalam menyediakan liputan meluas mengenai konflik yang sedang berlaku.

Sebagai tindak balas kepada naratif palsu yang disebarkan oleh Israel dan sekutunya, beliau berkata media Malaysia telah mengetengahkan perbincangan di PBB dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) serta kenyataan organisasi seperti Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

'’Pendekatan komprehensif ini bertujuan untuk memberikan maklumat yang seimbang dan tepat kepada rakyat Malaysia. Tambahan lagi, penganalisis Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam hal ehwal Timur Tengah telah dirujuk untuk memberikan perspektif yang bermaklumat dan menentang naratif berat sebelah yang menyelubungi konflik tersebut.

"Pandangan mereka telah menambah konteks berharga kepada liputan media Malaysia, menawarkan pemahaman yang lebih mendalam tentang kerumitan yang dimainkan di rantau ini," katanya.

Dianjurkan oleh OIC, persidangan itu antara lain untuk membincangkan usaha bersama dalam menghadapi maklumat palsu dan permusuhan daripada pihak berkuasa Israel terhadap wartawan dan saluran media di wilayah Palestin yang diduduki mereka.

Israel mengebom Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober 2023 membunuh lebih 29,000 orang dan mengakibatkan kemusnahan berskala besar dan kekurangan bekalan barangan keperluan yang mencetuskan krisis kemanuasiaan di Gaza. - Bernama