Wanita hamil lima bulan dicekup berkhalwat

Seorang wanita hamil lima bulan dan lelaki bujang disoal siasat pegawai PADK selepas dicekup berkhalwat di rumah sewanya di Kulim Hi Tech tengah malam Sabtu.
Seorang wanita hamil lima bulan dan lelaki bujang disoal siasat pegawai PADK selepas dicekup berkhalwat di rumah sewanya di Kulim Hi Tech tengah malam Sabtu.
A
A
A

KULIM - Seorang wanita hamil lima bulan dipercayai masih berstatus isteri orang ditahan bersama lelaki bujang kerana disyaki berkhalwat di Kulim Hi -Tech dekat sini tengah malam Sabtu.

Mereka ditahan di rumah sewa wanita terbabit oleh sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) pada jam 12.06 tengah malam selepas menerima aduan berhubung kejadian itu.

Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad berkata, pihaknya memberi salam hampir enam minit sebelum pintu dibuka wanita berusia 27 tahun itu dan kemudian membenarkan mereka masuk ke dalam rumah berkenaan.

"Hasil siasatan menemukan seorang lelaki di sebuah bilik di tingkat atas rumah terbabit dan hasil soal siasat mendapati mereka bukanlah suami isteri atau mahram.

"Ia menimbulkan syak berlakunya khalwat di rumah itu dan mereka ditahan untuk tindakan lanjut,"katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau memaklumkan, siasatan mendapati wanita yang bekerja di Kulim itu mempunyai suami dan sedang hamil lima bulan.

Anwar Sharifudin berkata, suami kepada wanita terbabit didapati bekerja di Ipoh, Perak dan mereka dipercayai baharu berkahwin tujuh bulan.

Tambahnya, hasil soal siasat mendapati wanita terbabit sudah berkenalan dengan lelaki itu selama setahun disebabkan mereka bekerja dalam syarikat sama.

Artikel Berkaitan:

"Ketika ditahan, lelaki berusia 28 tahun itu memberi alasan hanya singgah sekejap di rumah wanita itu, namun pemeriksaan lanjut mendapati dia tinggal di situ berdasarkan penemuan pakaiannya yang banyak di rumah terbabit," katanya.

Susulan itu, beliau memaklumkan, mereka ditahan dan dibawa ke balai polis berhampiran untuk dibuat laporan dan tangkapan serta diambil keterangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 25(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!