Pelamin angan musnah, lelaki rugi RM30,000 diperdaya isteri orang

Pelamin angan seorang pemuda dari Kuching 'musnah’ setelah diperdaya tunangnya yang merupakan isteri orang. - Foto: Facebook
Pelamin angan seorang pemuda dari Kuching 'musnah’ setelah diperdaya tunangnya yang merupakan isteri orang. - Foto: Facebook
A
A
A

SIBU - Pelamin angan seorang pemuda dari Kuching 'musnah’ setelah diperdaya tunangnya yang merupakan isteri orang dan dijanjikan untuk berkahwin pada 10 November lalu.

Lebih malang lagi, wanita yang didakwa sudah mempunyai dua anak dikatakan bersubahat dengan bapanya sehingga menyebabkan lelaki berusia 28 tahun itu kerugian kira-kira RM30,000 membabitkan kos keseluruhan persediaan perkahwinan mereka.

Bukan sahaja kecewa, malah lelaki yang bekerja sebagai pekerja luar pesisir itu berkata, maruah keluarganya turut tercalar akibat perbuatan wanita yang didakwa anggota badan beruniform bertugas di selatan tanah air.

Berikutan itu, lelaki berkenaan telah membuat laporan polis di Balai Polis Daro pada 10 November lalu dan perkara itu telah disahkan Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili ketika dihubungi pada Selasa, namun tidak mengulas lanjut perkara berkenaan.

Sebelum itu, menerusi hantaran di Facebook yang tular sejak Isnin, seorang lelaki mendakwa mengenali wanita berkenaan sejak 2021 dan melangsungkan pertunangan pada 12 Oktober tahun lepas di Kuching.

Menurut lelaki itu, mereka sepatutnya melangsungkan majlis akad nikah pada 10 November (Jumaat) dan majlis persandingan pada 11 November di rumah pengantin perempuan di Matu, Mukah.

"Hari yang sepatutnya menjadi hari paling bahagia untuk aku tetapi jadi mimpi ngeri,” katanya menerusi hantaran berkenaan.

Pada hari sepatutnya berlangsung akad nikah, dia bersama rombongan seramai 22 orang tiba di rumah pengantin perempuan tetapi hairan kerana tiada tanda-tanda persiapan majlis dibuat sebaik tiba di lokasi.

Artikel Berkaitan:

Mangsa kemudiannya cuba menghubungi calon isteri yang berusia 30 tahun dan juga bapanya namun gagal.

"Selepas itu, saya pergi ke rumah jiran sebelah dan rupanya tuan rumah sebelah itu mak saudara si pengantin perempuan. Jadi kami beritahu tujuan datang dan tanya mengenai pengantin perempuan sama ada kenal atau tidak.

"Bertambah geram dan terkejut apabila mereka beritahu nama sebenar dia. Lagi parah perempuan tu dah berkahwin dan ada dua orang anak,” katanya dalam hantaran berkenaan.

Mangsa turut memuat naik gambar wanita berkenaan dan bapanya di laman Facebook. - Bernama