Kerajaan sasar RM155 bilion kutipan cukai LHDN

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kewangan mensasarkan kutipan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi 2020 sebanyak RM155 bilion.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, jumlah tersebut merupakan peningkatan sebanyak lima peratus berbanding sasaran RM147 bilion tahun lalu.

"Prestasi kutipan cukai langsung negara bagi 2019 oleh LHDN ialah RM145.078. Kutipan ini merekodkan peningkatan hampir enam peratus atau melebihi RM8 bilion berbanding 2018.

"Ia sekaligus mencipta satu sejarah baharu kutipan hasil cukai langsung negara apabila mengatasi pencapaian terbaik kutipan yang direkodkan pada 2018 iaitu sekitar RM137 bilion," katanya pada Sidang Media Hari Bertemu Pelanggan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini hari ini.

Menurutnya, selain daripada mencerminkan keberkesanan kepimpinan bersih dan pentadbiran cekap, akauntabiliti dan telus, peningkatan hasil ini juga menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi negara masih mampan dalam 2019 serta tahun ini.

"Di samping itu, strategi kerajaan yang berkesan sepanjang 2019 seperti aktiviti penguatkuasaan lebih profesional, program pendidikan cukai yang berfokus dan pelaksanaan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) turut meningkatkan keyakinan rakyat untuk menjalankan tanggungjawab membayar cukai," katanya.

Beliau berkata, kerajaan menerusi LHDN juga akan terus melaksanakan undang-undang percukaian dengan efisien untuk meningkatkan lagi keberkesanan aktiviti penguatkuasaan bagi menangani isu ekonomi bayangan atau shadow economy yang dianggarkan berada sekitar 20 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Mengulas mengenai Hari Bertemu Pelanggan, Guan Eng berkata, program tersebut akan diadakan setiap Rabu bermula hari ini bertempat di Kaunter Setempat Tingkat 1, Blok 8A, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

"Program ini merupakan inisiatif bersama bagi memudahkan urusan percukaian dan menjadi platform tambahan untuk menerima serta mendengar masalah atau aduan berkaitan dengan isu-isu cukai langsung yang dihadapi oleh pembayar cukai.

"Sebanyak 17 kaunter akan dibuka bermula jam 8 pagi hingga 5 petang setiap minggu pada hari Rabu. Pembayar, ejen cukai, badan-badan profesional, para akauntan dan orang awam dialu-alukan untuk hadir," katanya.