Laskar Kanan didakwa terima rasuah RM46,000

Khairul Anuar hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat, atas lapan pertuduhan menerima rasuah RM46,000 berhubung permohonan pinjaman pembiayaan LPPSA bagi 10 individu, tiga tahun lalu.
Khairul Anuar hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat, atas lapan pertuduhan menerima rasuah RM46,000 berhubung permohonan pinjaman pembiayaan LPPSA bagi 10 individu, tiga tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang anggota tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas lapan pertuduhan menerima rasuah RM46,000 berhubung permohonan pinjaman pembiayaan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) bagi 10 individu, tiga tahun lalu.

Laskar Kanan, Khairul Anuar Mat Sidek, 32, yang bekerja di Bahagian Perkhidmatan Anggota, Sel Pinjaman Perumahan Markas Angkatan Tentera Malaysia Kuala Lumpur, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Suzana Hussin.

Mengikut semua pertuduhan, lelaki terbabit didakwa menerima RM46,000 secara serahan tangan daripada seorang wanita iaitu pemilik sebuah syarikat bagi urusan permohonan pinjaman LPPSA membabitkan 10 individu.

Semua kesalahan didakwa dilakukan di Kuarters Desa Setia Wira, di sini antara 6 Januari 2021 dan 24 Mei 2022.

Setiap pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Rifah Izzati Abdul Mutalif mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

“Ia termasuk syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai,” katanya.

Bagaimanapun, peguam, Ahmad Syahmi Amran yang mewakili tertuduh, memohon kadar itu dikurangkan kerana anak guamnya perlu menanggung seorang anak yang masih kecil termasuk isterinya yang sarat mengandung.

Artikel Berkaitan:

“Dia telah memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan dan tiada risiko dia akan melarikan diri,” kata peguam itu.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Suzana membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 19 April depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!