Pengaruh, taasub semarak kesesatan

Berhati-hati menggunakan platform media sosial agar tidak terjerumus, akhirnya memakan diri

MASYARAKAT dinasihatkan agar tidak taasub dengan mana-mana individu atau ajaran. - Gambar Hiasan/Foto Pexels
MASYARAKAT dinasihatkan agar tidak taasub dengan mana-mana individu atau ajaran. - Gambar Hiasan/Foto Pexels
A
A
A

BARU-BARU ini, kecoh seketika apabila seorang yang dikaitkan dengan aktiviti persundalan dipanggil untuk berbicara dalam suatu program podcast.

Sebelum itu, seorang artis terkenal menyuarakan pandangan supaya diwujudkan rumah pelacuran buat warga asing bagi mengelakkan rakyat tempatan menjadi mangsa rogol mereka.

Perbuatan tersebut mendapat kecaman yang begitu hebat daripada warganet sehingga mendapat perhatian menteri, tokoh masyarakat dan mufti agama.

Dua kes ini merupakan antara contoh yang berlaku apabila sesuatu platform digunakan dengan meluas tanpa ada tapisan.

Bagaimanapun, hukum agama tidak boleh diubah dengan sesuka hati walaupun ada ketikanya ia boleh berubah dengan adanya sebab yang mendesak atau darurat.

GUNALAH platform media sosial dengan bertanggungjawab agar dapat memberi manfaat kepada orang ramai. Foto Pexels
GUNALAH platform media sosial dengan bertanggungjawab agar dapat memberi manfaat kepada orang ramai. Foto Pexels

Di sebalik isu yang timbul, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam khutbah Jumaat yang disiarkan di laman web rasminya mengupas mengenai perkara ini dengan tajuk 'Pengaruh dan Taasub Penyemarak Kesesatan'.

Artikel Berkaitan:

Pengaruh dan taasub

JAIS mendefinisikan pengaruh adalah kuasa yang lahir daripada seseorang terhadap seseorang tertentu kerana sebab-sebab tertentu.

“Pengaruh boleh lahir dengan sebab kesan baik atau kesan buruk mengenai sesuatu yang difahami, diyakini dan diamalkan oleh pempengaruh (orang yang mempengaruhi atau influencer).

“Maka lahirlah suatu keadaan yang disebut sebagai terpengaruh kepada sesuatu, sama ada kepada sesuatu yang benar atau salah, baik dalam perkara dunia atau agama,” hurai JAIS.

Jelasnya, taasub atau fanatik pula diertikan sebagai kuat pegangan atau keyakinan yang keterlaluan terhadap sesuatu atau seseorang.

“Taasub juga adalah budaya buruk dalam masyarakat Islam sejak dulu lagi.

“Ia turut dikaitkan dengan sikap yang keterlaluan dan melampau dalam sesuatu pegangan atau pendirian dan biasanya dikaitkan dengan agama,” katanya.

Berkaitan hal ini, khatib mengingatkan umat Islam kepada ayat 77 dalam Surah al-Maidah:

“Katakanlah: Wahai Ahli Kitab, janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang tidak benar dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia dan juga (sekarang) mereka telah (jauh) dari jalan yang betul.”

Menurut JAIS, sikap melampau juga bertentangan dengan sifat adil dan sederhana sebagaimana dituntut dalam ayat 143 Surah al-Baqarah.

Ajaran, amalan bertentangan Islam

Sementara itu katanya, Bahagian Akidah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mentakrifkan ajaran sesat sebagai ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang Islam atau bukan Islam yang mendakwa bahawa ia berdasarkan kepada ajaran Islam yang sebenar.

“Sedangkan pada hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan dan berlawanan dengan akidah Islamiah, bertentangan dengan al-Quran dan as-sunnah, bertentangan dengan mazhab yang muktabar dan bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Mutakhir ini, fakta menunjukkan bahawa sikap mudah terpengaruh dengan sesuatu atau sikap taasub telah menjadi masalah yang bukan sahaja membawa kepada perpecahan ummah, bahkan kepada budaya saling menyesatkan sesama Islam,” katanya.

AKSES internet yang sangat mudah menyebabkan segelintir masyarakat mudah terpengaruh dengan media sosial.
AKSES internet yang sangat mudah menyebabkan segelintir masyarakat mudah terpengaruh dengan media sosial.

Jelasnya, fakta menunjukkan bahawa taasub kepada kumpulan-kumpulan tertentu telah menjadikan umat Islam hari ini terus berbalah.

“Taasub kepada watak dan tokoh ilmuan tertentu juga membutakan hati sebahagian umat Islam antara kebenaran yang palsu untuk kepentingan dunia seseorang atau kumpulan, berbanding suatu yang hak dan kebenaran serta ruang untuk berbeza pendapat,” katanya lagi.

Jelaslah, mencari pengaruh untuk kepentingan diri, mudah terpengaruh kepada sesuatu tanpa ilmu dan sikap taasub amat berbahaya kepada umat Islam.

Malah katanya, ia juga boleh mematikan sikap berlapang dada dan bersatu dalam kepelbagaian pandangan dan perbezaan, menyemarak sikap sentiasa berprasangka buruk, menghakis sikap berlemah-lembut dalam mengajak kepada Islam.

“(Ia juga) tidak menjaga hak saudara se-Islam dan tidak menghormati keputusan pemerintah dalam urusan mengenai agama Islam.

“Akibatnya, perbalahan antara sesama umat Islam yang tidak kunjung padam. Rekod Jabatan Agama Islam Selangor mencatatkan banyak kes melibatkan ajaran sesat yang telah mempengaruhi segelintir masyarakat,” katanya.

Khatib turut mengingatkan, bagi mengelakkan perkara ini terus menular, umat Islam hendaklah:

1 - Sentiasa memantapkan ilmu agama dalam diri dengan menimba ilmu daripada guru yang berpandukan al-Quran dan hadis serta menghuraikannya mengikut pandangan ulama muktabar.

2 - Ibu bapa hendaklah memberi kefahaman akidah, syariat dan menunjukkan akhlak yang terpuji kepada ahli keluarga masing-masing.

3 - Masyarakat hendaklah mendapatkan penjelasan dan pandangan apa-apa jua perkara tidak jelas mengenai agama Islam kepada pihak berkuasa agama untuk kepastian dan kefahaman yang benar.

4 - Masyarakat juga hendaklah melaporkan aktiviti agama yang dibuat secara sembunyi dan kecil-kecilan di premis selain masjid dan surau, kepada pihak berkuasa agama untuk siasatan.