Tingkat kualiti pendakwaan syarie

Penubuhan JPSM mampu seragam proses gubal undang-undang syariah. (Foto Bernama) Gambar kecil: Mohd Ridwan
Penubuhan JPSM mampu seragam proses gubal undang-undang syariah. (Foto Bernama) Gambar kecil: Mohd Ridwan
A
A
A

SHAH ALAM - Penubuhan Jabatan Pendakwaan Syarie Malaysia (JPSM) berupaya meningkatkan kualiti pendakwaan dan menyeragamkan proses penggubalan undang-undang syariah di negara ini.

Pensyarah Undang-Undang Kolej Yayasan Melaka, Mohd Ridwan Talib berkata, menerusi penubuhan tersebut, ia dapat mengelakkan pengulangan konflik selain mencapai keharmonian antara undang-undang jenayah syariah dan persekutuan.

Menurutnya, hasrat tersebut mampu dicapai melalui proses pendidikan berterusan dalam kalangan kakitangan pendakwaan di seluruh Malaysia.

“Pada pandangan saya, penubuhan JPMS ini mempunyai impak yang sangat signifikan dengan peningkatan kualiti pendakwaan syarie dan memberi kesan langsung terhadap penghakiman.

“JPSM juga akan mendorong proses menyeragamkan aspek penggubalan, pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang jenayah syariah.

“Perkara ini juga boleh mengelakkan berulangnya konflik perundangan antara undang-undang jenayah syariah dan undang-undang jenayah di peringkat persekutuan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sebelum ini, kerajaan akan mewujudkan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti dan Jabatan Pendakwaan Syarie Malaysia (JPSM) sebagai langkah memperkasa dan memelihara perundangan Islam di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, selain RUU Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355), terdapat undang-undang yang perlu dipinda termasuk Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505).

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohd Ridwan berkata, langkah tersebut merupakan usaha dinamik dalam memelihara kesejahteraan undang-undang Islam yang sentiasa berdepan dengan pelbagai ancaman.

“Penubuhan JPSM ialah bukti kebitaraan kepimpinan Melayu Islam Malaysia dalam mendepani dinamika perundangan yang dilihat sentiasa mengancam jati diri orang Islam di Malaysia.

“JPSM akan menjamin peningkatan kualiti latihan, mutu pendakwaan dan evolusi perundangan dalam kalangan kakitangan Mahkamah Syariah,” jelasnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28