Kendali perselisihan faham dalam keluarga

Dalam apa juga keadaan sebenarnya, perselisihan pendapat sepatutnya tidak perlu hingga melampaui batas. Foto hiasan
Dalam apa juga keadaan sebenarnya, perselisihan pendapat sepatutnya tidak perlu hingga melampaui batas. Foto hiasan
A
A
A

BARU-BARU ini, seorang kakitangan awam maut selepas terjatuh dari tingkat 21 sebuah kondominium di Cheras, Kuala Lumpur.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mayat wanita tersebut ditemui terbaring oleh pengawal keselamatan di kaki lima kondominium terbabit.

Anggota penguat kuasa berusia 40 tahun itu merupakan seorang ibu tunggal yang mempunyai lima anak.

Beliau berkhidmat di sebuah agensi di ibu kota dan pernah menjadi penerima Anugerah Cemerlang Perkhidmatan.

Siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu. Susulan itu, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Pun begitu, perselisihan faham antara keluarga dipercayai menjadi punca mangsa terjatuh.

Pertengkaran yang berpunca daripada sesuatu yang tidak dipersetujui bukanlah suatu yang luar biasa. Konflik lazim berlaku dalam hubungan tidak kira pasangan suami isteri, ibu bapa dan anak atau sesama adik beradik.

Ia boleh berlaku disebabkan oleh perbezaan pendapat, kepenatan atau tekanan.

Artikel Berkaitan:

Faktor kos sara hidup yang meningkat, beban tugas di tempat kerja, masalah kewangan atau hutang yang ditanggung seseorang juga boleh mempengaruhi dan memburukkan lagi keadaan.

Ketidakfahaman yang menjadi punca perselisihan itu sepatutnya diuruskan dan diselesaikan dengan cara yang baik.

Kegagalan memahami atau mencapai kata sepakat dalam kalangan ahli keluarga bukan sahaja merosakkan hubungan, malah boleh menyebabkan seseorang hilang kepercayaan.

Ibu atau ayah boleh membenci zuriat mereka dan begitu juga sebaliknya. Adik-beradik yang bertelagah juga boleh bermusuhan dan tidak bertegur sapa.

Individu yang terlalu terkesan pula mungkin boleh bertindak di luar kawalan seperti mengasari pihak yang satu lagi hingga berlaku kecederaan atau lebih malang lagi membawa kepada kehilangan nyawa.

Sekiranya masalah berlaku antara ibu bapa dan anak, atau antara adik-beradik, perbincangan secara wajar boleh mengelak perkara yang tidak dipersetujui menjadi berlarutan.

Pun demikian, jika perselisihan faham itu tidak dikendalikan dengan baik antara kedua-dua pihak yang bertelagah, di situlah boleh timbul kekasaran fizikal, provokasi dan sebagainya.

Pertengkaran yang buruk misalnya boleh menyebabkan masalah yang kecil menjadi besar, penuh emosi dan menyakitkan.

Oleh demikian, cara mengendalikan perselisihan pendapat adalah penting. Tidak kira apa juga masalah yang didepani, sebaiknya cuba bersikap rasional.

Elakkan daripada menggunakan bahasa yang merendahkan pihak yang satu lagi. Situasi tersebut akan membuatkan keadaan menjadi lebih tegang.

Dalam pada itu, beri peluang setiap orang untuk bercakap secara bergilir-gilir dan jangan menjerit. Bincangkan satu topik pada satu-satu masa bagi membolehkan masalah yang dihadapi dapat diselesaikan dengan baik.

Jika didapati keadaan menjadi semakin tegang, perbualan tersebut hendaklah dihentikan seketika supaya tiada pihak yang menjadi lebih marah atau kecewa.

Paling penting, usahakan untuk mencapai kata sepakat atau persefahaman yang dipersetujui.

Namun demikian, tiada kompromi dan konflik yang berlaku semakin parah, sebaiknya dapatkan pertolongan daripada orang yang boleh dipercayai. Meminta pendapat atau pandangan orang lain boleh meredakan dan membantu menyelesaikan perbalahan.

Jangan biarkan perselisihan faham berlarutan atau berlaku untuk tempoh masa yang lama. Keadaan tersebut boleh membawa kepada permusuhan yang lebih lama dan meninggal kesan yang lebih buruk.

Dalam apa juga keadaan sebenarnya, perselisihan pendapat sepatutnya tidak perlu hingga melampaui batas.

* Nurul Shahamah Abdul Razak ialah wartawan SinarPlus