Insentif RM2,000 kepada penjawat awam dibayar esok

Penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak akan menerima Bayaran Insentif Awal Kajian SSPA berjumlah RM2,000 pada Jumaat. Foto hiasan
Penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak akan menerima Bayaran Insentif Awal Kajian SSPA berjumlah RM2,000 pada Jumaat. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan akan menyalurkan Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) membabitkan semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak berjumlah RM2,000 pada Jumaat.

Bayaran itu dibuat sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di Putrajaya pada 6 Februari lalu.

Menurut Anwar, insentif berkenaan diberikan bagi meringankan beban persediaan persekolahan serta persiapan menjelang Ramadan dan Syawal nanti.

Beliau berkata, turut disalurkan sebanyak RM1,000 kepada semua jawatan utama sektor awam melibatkan polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform.

Tambah Ahli Parlimen Tambun itu lagi, bayaran insentif RM1,000 turut disalurkan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.

Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024 Oktober lalu memaklumkan kerajaan bersetuju untuk memberi SSPA sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak.

Menerusi pembentangan itu juga, Anwar berkata, kerajaan sedang menyemak semula skim gaji dan elaun tetap penjawat awam yang kali terakhir dilaksanakan pada tahun 2012.

Beliau menambah, SSPA akan meneliti keperluan semua skim perkhidmatan dan dijangka akan dimuktamadkan pada penghujung tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!