62 warga asing kerja tanpa permit yang sah ditahan

Seramai 197 diperiksa dan 62 daripadanya ditahan pihak imigresen dalam operasi di Taman Desa Idaman, Senai Johor Bahru pada Rabu.
Seramai 197 diperiksa dan 62 daripadanya ditahan pihak imigresen dalam operasi di Taman Desa Idaman, Senai Johor Bahru pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 62 warga asing kerana bekerja tanpa permit yang sah dalam operasi di sebuah kilang dan 16 lokasi hotspot di Senai dekat sini pada Rabu.

Pengarah JIM Johor, Baharuddin Tahir berkata, operasi yang bermula pada jam 3.10 sehingga 6.30 petang itu disertai 80 pegawai bahagian penguat kuasa negeri dan pegawai Bangunan Sultan Iskandar (BSI) JIM Johor.

"Tindakan Penguatkuasaan ini diambil susulan maklumat awam berhubung warga asing yang bekerja tanpa pas dan permit yang sah.

"Dalam operasi ini seramai 197 individu diperiksa dan 62 daripada mereka ditahan. Menerusi operasi di sebuah kilang pembuatan 'cornice, seramai 11 warga asing terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita warga Indonesia serta empat lelaki warga Bangladesh ditahan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, menerusi operasi di 16 premis sekitar Taman Desa Idaman, seramai 105 individu diperiksa dan daripada jumlah tersebut, 51 warga asing ditahan iaitu 31 lelaki dan seorang wanita warga Bangladesh serta tujuh lelaki dan tiga wanita warga Indonesia ditahan.

"Selain itu turut ditahan empat lelaki dan tiga wanita warga Myanmar; seorang lelaki warga India dan seorang lelaki warga Nepal. Semua mereka yang ditahan berusia 21 hingga 49 tahun," ujar beliau.

Baharudin memberitahu, semua mereka melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa.

Selain itu katanya, mereka turut melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, notis untuk hadir ke pejabat juga dikeluarkan kepada beberapa Individu bagi membantu siasatan.

"Semua tahanan ditempatkan di Depoh Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.