Ada ruang perbaiki kedudukan negara dalam penarafan CPI - KSN

Mohd Zuki menyampaikan ucapan pada Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Kali Ke-10 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini. - Bernama
Mohd Zuki menyampaikan ucapan pada Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Kali Ke-10 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini. - Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Masih ada ruang dan perkara yang boleh dilakukan semua pihak untuk terus melonjakkan kedudukan negara dalam penarafan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) seiring dengan sasaran kedudukan ke-25 dunia menjelang 2033, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali hari ini.

Beliau berkata, ia termasuklah mempercepatkan lagi pelaksanaan Strategi Antirasuah Nasional atau NACS yang menggantikan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang bermula sejak 2019 dan tamat pada 2023.

"Seperti yang kita sedia maklum juga, kerajaan melalui Kajian Separa Penggal RMK-12 (Rancangan Malaysia ke-12) dan NACP sebelum ini, telah menetapkan strategi dan tindakan yang memerlukan komitmen daripada semua sektor awam dan swasta.

"Walau bagaimanapun, isu-isu ketirisan, salah guna kuasa dan perlakuan rasuah tetap masih belum dapat dikekang sepenuhnya,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah ke-10 di Pusat Dagangan Dunia, di sini.

Sehubungan itu, beliau berkata, graduan-graduan yang ada pada hari ini perlu sedar dan jelas akan peranan-peranan yang perlu dimainkan di jabatan dan syarikat masing-masing dan seterusnya membawa organisasi-organisasi mereka ke arah pentadbiran yang lebih baik.

"NACP sebelum ini telah memfokuskan kepada pemantapan tadbir urus, integriti dan antirasuah dalam sektor awam demi meningkatkan kecekapan dan ketelusan dalam urus tadbir kerajaan.

Namun begitu, kepentingan pengukuhan integriti dan antirasuah dalam sektor swasta juga tidak boleh dipandang enteng dan perlu menjadi salah satu agenda utama dalam usaha murni ini,” katanya.

Justeru, beliau berkata, kerajaan akan memperkenalkan NACS 2024-2029 sebagai kesinambungan kepada NACP yang merupakan satu inisiatif pelaksanaan pentadbiran berlandaskan tatakelola baik yang pastinya dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

Artikel Berkaitan:

"Saya difahamkan NACS 2024-2029 bakal dilancarkan pada pertengahan tahun ini. Ia akan memfokuskan kepada keberkesanan pencegahan rasuah serta meningkatkan tatakelola baik dan integriti dalam pentadbiran perkhidmatan awam serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya.

Mohd Zuki turut merakamkan ucapan tahniah susulan kejayaan negara memperbaiki skor CPI 2023 daripada 47 ke 50 mata dengan kenaikan empat tangga iaitu daripada tangga 61 ke 57 daripada keseluruhan 180 negara yang dinilai. - Bernama