Doktor didakwa hasilkan pornografi, amang seksual kanak-kanak

Tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kemaman pada Khamis.
Tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kemaman pada Khamis.
A
A
A

KEMAMAN - Seorang doktor perubatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas enam pertuduhan menghasilkan pornografi dan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak.

Tertuduh, Dr Anas Ramli, 32, yang kini berkhidmat di sebuah hospital di Kuantan, Pahang mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas kesemua tuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

Berdasarkan lima pertuduhan di bawah Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1) akta yang sama, tertuduh didakwa telah menghasilkan pornografi kanak-kanak dalam bentuk gambar terhadap lima kanak-kanak yang berusia antara tujuh hingga 11 tahun dengan menggunakan telefon bimbit sewaktu merawat pesakitnya.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan tertuduh di dalam wad di Hospital Kemaman antara hujung Disember 2022 hingga hujung Januari 2023.

Bagi pertuduhan seterusnya, tertuduh didakwa bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama iaitu dengan sengaja telah melakukan amang seksual fizikal dengan cara menyentuh payudara kanak-kanak berusia 12 tahun.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan tertuduh di dalam bilik rawatan wad di Hospital Kemaman pada 8 Februari 2023.

Pihak pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Mohamad Razali memohon mahkamah supaya tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Faizal Rahman memohon jaminan diberikan kepada anak guamnya itu dikurangkan kerana jumlah bayaran tersebut amat tinggi bagi seorang penjawat awam yang baharu berkhidmat.

Artikel Berkaitan:

"Anak guam saya mempunyai komitmen tinggi untuk bersihkan namanya malah dia juga tidak pernah gagal untuk hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis di Kuantan dan Kemaman," ujarnya.

Hakim Wan Suhaila kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri di balai polis berdekatan pada setiap 1 hari bulan selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sementara itu, tertuduh juga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas satu pertuduhan memiliki gambar lucah yang disimpan di dalam telefon bimbit.

Tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas tuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin.

Berdasarkan pertuduhan bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa telah memiliki gambar lucah yang disimpan di dalam telefon bimbit.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan tertuduh di dalam Dewan Bedah Hospital Kemaman jam antara 7.30 pagi hingga 10 pagi pada 1 November lepas.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azhani Azman manakala tertuduh diwakili peguam, Faizal Rahman.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 selain dikenakan syarat tambahan supaya tidak menganggu mangsa dan saksi pendakwaan yang lain sehingga kes selesai.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 21 Mac depan untuk penyerahan dokumen.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28