Agong berangkat hadir hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-265

Sultan Ibrahim (kiri) bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (kanan) berkenan berangkat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-265 di Istana Negara, hari ini. Foto Bernama
Sultan Ibrahim (kiri) bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (kanan) berkenan berangkat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-265 di Istana Negara, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berangkat menghadiri hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-265 di Istana Negara, hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut berangkat ke mesyuarat hari ini ialah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah; Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Johor diwakili Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim; Perlis oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Pahang oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra.

Mesyuarat turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak; Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam dan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar tidak hadir ke mesyuarat itu kerana menghadiri istiadat penghormatan negeri bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud yang meninggal dunia semalam.

Mesyuarat pada hari ini turut disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada mesyuarat itu, Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang di-Pertua Negeri diiringi Ketua-Ketua Menteri. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28