Laporan palsu disamun, peniaga dihukum buat kerja kebajikan

Abdul Mustaqim diperintah melakukan kerja kebajikan selama tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Sungai Siput selepas mengaku bersalah membuat laporan polis palsu.
Abdul Mustaqim diperintah melakukan kerja kebajikan selama tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Sungai Siput selepas mengaku bersalah membuat laporan polis palsu.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Seorang peniaga diperintah melakukan kerja kebajikan selama tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Sungai Siput pada Khamis selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membuat laporan palsu berkaitan kejadian samun, dua minggu lalu.

Majistret Nurul Asyifa Redzuan memerintahkan tertuduh, Abdul Mustaqim Mohd Tab, 31, melakukan kerja kebajikan itu tiga jam sehari selama tiga bulan selepas menimbangkan rayuannya.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa sengaja memberi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Firdaus Abdullah maklumat bertulis palsu yang menyebabkan penjawat awam berkenaan melakukan siasatan yang sepatutnya tidak dilakukan di pejabat pegawai penyiasat bahagian siasatan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput sekitar jam 1 petang pada 9 Februari 2024.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, hasil siasatan mendapati tertuduh memberitahu sebenarnya wang tunai berjumlah RM950 merupakan hasil jualan roti disamun dua lelaki yang menaiki motosikal jenis Yamaha 125Z di tepi jalan Hospital Sungai Siput adalah rekaan.

Tertuduh membuat laporan polis palsu kerana telah menggunakan wang tersebut untuk membayar hutang kepada rakannya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, RS Vitthiyeswary manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Hajar Hamzah.

Terdahulu Siti Hajar dalam rayuannya memohon tertuduh dikenakan hukuman denda minimum atas alasan ini merupakan kesalahan pertamanya dan menanggung kedua ibu bapanya dengan pendapatan sebanyak RM40 sehari.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28