Malaysia kesal UNSC gagal laksana gencatan senjata di Gaza

Linda mengangkat tangan sebagai tanda AS memveto satu lagi draf resolusi Majlis Keselamatan PBB mengenai perang Israel ke atas Gaza di New York pada Selasa. - AFP
Linda mengangkat tangan sebagai tanda AS memveto satu lagi draf resolusi Majlis Keselamatan PBB mengenai perang Israel ke atas Gaza di New York pada Selasa. - AFP
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia meluahkan kekesalan atas kegagalan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menangani situasi genting yang sedang berlaku di Semenanjung Gaza.

Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam kenyataan berkata, resolusi yang diusulkan Algeria itu gagal susulan penggunaan kuasa veto oleh Amerika Syarikat (AS), sekali gus melumpuhkan lagi usaha masyarakat antarabangsa menangani malapetaka kemanusiaan di Palestin.

Mengambil kira keadaan di Gaza yang semakin meruncing terutama serangan besar-besaran oleh Israel di Rafah, KLN menegaskan, jalan penyelesaian yang berkesan untuk menangani krisis itu ialah UNSC melaksanakan gencatan kemanusiaan dengan serta-merta.

"Satu-satunya jalan penyelesaian terbaik terhadap konflik ini ialah melaksanakan Penyelesaian Dua Negara berdasarkan garis sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin.

"Malaysia mengulangi gesaannya supaya Palestin diiktiraf sebagai anggota penuh PBB," menurut kenyataan itu pada Rabu.

Terdahulu AS sekali lagi menggunakan kuasa veto terhadap draf resolusi UNSC mengenai perang Israel-Palestin yang menghalang permintaan untuk gencatan senjata kemanusiaan segera.

Seramai 13 anggota majlis mengundi menyokong draf resolusi yang diusulkan Algeria, manakala Britain berkecuali.

AS buat kali ketiga menggunakan kuasa vetonya terhadap draf resolusi berkaitan Gaza sejak permulaan konflik pada 7 Oktober lalu.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!