PATI umpama 'ATM bergerak'

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan segelintir anggota penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang meminta ‘wang pelepasan’ daripada warga asing menyebabkan golongan itu berani memberi rasuah.

Setiausaha Majlis Ekonomi Halal (MEH), Dr Helmi Ibrahim berkata, keadaan tersebut menjadikan seolah-olah wang rasuah sebagai modus operandi atau jaminan bebas dihukum walaupun telah melakukan kesalahan melanggar undang-undang negara.

“Ada penguatkuasa yang menganggap warga asing sebagai mesin pengeluaran automatik (ATM) bergerak, pada mulanya mereka terpaksa bagi wang dan lama-kelamaan ia menjadi kebiasaan untuk meloloskan diri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Beliau mengulas mengenai kes tangkapan melibatkan seorang lelaki warga Indonesia yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu lalu apabila cuba memberi suapan sebanyak RM250 kepada anggota polis.

Suspek berusia 45 tahun dikatakan menawar suapan itu sebagai balasan melepaskannya dari kesalahan lalu lintas di Sikamat sebelum ditahan kira-kira jam 10.45 malam ketika hadir di Pejabat SPRM Negeri Sembilan.

Selain itu pada Ahad lalu, dua lagi lelaki warga asing ditahan kerana disyaki cuba memberi rasuah kepada anggota kereta peronda polis (MPV) ketika menjalankan rondaan cegah jenayah 'Aberdeen' di Kota Damansara.

Mengulas lanjut, Helmi mendakwa warga asing berani berbuat demikian kerana tidak mengetahui bahawa bukan semua pihak berkuasa menerima sogokan 'wang pelepasan'.

“Mereka mungkin beranggapan semua anggota akan menerima wang suapan sebagai tiket untuk melepaskan diri tanpa sebarang hukuman,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Helmi, MEH sudah mengemukakan cadangan kepada Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay untuk mengadakan Kempen Kesedaran Halal bersama pihak PDRM.

Katanya, inisiatif berkenaan bertujuan untuk menggerakkan kempen antirasuah secara dalaman bagi organisasi atau agensi terlibat sebagai usaha membendung jenayah itu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28