Pierre Andre bebas tekanan

Pierre bersama barisan pelakon utama Jangan Pandang Belakang 2.
Pierre bersama barisan pelakon utama Jangan Pandang Belakang 2.
A
A
A

PELAKON dan pengarah, Pierre Andre mendedahkan sudah 10 tahun tidak menggunakan telefon bimbit dan tidak mempunyai sebarang akaun media sosial, kecuali saluran YouTube Pierre Andre Vlog yang diwujudkan pada tahun 2019.

Jelas Pierre atau nama sebenarnya Mohd Pierre Andre Nazarul Andre, seandainya ada pihak yang mahu menghubunginya termasuk berkaitan urusan kerja, perlu melalui isterinya, Siti Nur Hidayah Hashim.

"Sejak dulu lagi saya tak berapa suka guna telefon bimbit. Masa zaman berkawan dengan isteri pun, saya lebih suka guna telefon awam. Telefon beri saya tekanan.

"Saya rasa bebas tanpa telefon bimbit dan kalau orang nak hubungi saya, memang perlu hubungi isteri saya.

"Telefon yang saya ada pun hanya digunakan untuk merakam video bagi kandungan YouTube saya, tetapi bukan alat komunikasi utama," katanya.

Tambah lelaki berusia 39 tahun itu, dia juga lebih selesa menggunakan telefon bimbit Hidayah sekiranya mahu membuat carian di Internet ataupun mengetahui sesuatu perkara.

"Saya tidak nafikan, ramai artis baru yang saya tak kenal dan saya perlu buat carian mengenai individu tersebut sekiranya saya mahu tahu tentang dia.

"Biasanya kalau saya pinjam telefon isteri, saya hanya belek sepintas lalu untuk mengetahui perkembangan semasa," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Pierre Andre mendedahkan sudah 10 tahun tidak menggunakan telefon bimbit dan tidak mempunyai sebarang akaun media sosial, kecuali saluran YouTube Pierre Andre Vlog.
Pierre Andre mendedahkan sudah 10 tahun tidak menggunakan telefon bimbit dan tidak mempunyai sebarang akaun media sosial, kecuali saluran YouTube Pierre Andre Vlog.

Pierre berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran dan doa selamat filem Jangan Pandang Belakang 2 pada Isnin.

Selepas 10 tahun menghilang, Pierre kembali menggalas tanggungjawab sebagai pengarah naskhah terbitan Metrowealth International Group (MIG).

Filem yang menampilkan gandingan Emma Maembong, Mawar Rashid, Iedil Dzuhrie Alaudin, Alif Hadi, Khatijah Tan, Ruminah Sidek serta Cat Farish itu baru sahaja memulakan penggambaran hari ini dan merupakan kesinambungan kepada naskhah pecah panggung, Jangan Pandang Belakang yang ditayangkan 17 tahun lalu.

Ditebak ‘kehilangannya’ sebaik mendirikan rumah tangga dengan Hidayah 11 tahun lalu, Pierre berkata, dia dan isteri membuat keputusan untuk membuka perniagaan serta memberi tumpuan terhadap keluarga.

Pada masa sama, Pierre merasakan sudah tiba masa buatnya memberi laluan kepada generasi muda.

"Saya boleh katakan saya jenis 'family man' (lebih suka bersama keluarga). Saya tidak betah berpisah lama dengan isteri dan anak. Sejak berkahwin, saya memang tidak pernah berenggang dengan isteri kecuali bila ke tandas.

"Selepas berkahwin, saya dan isteri buat keputusan untuk buka perniagaan kecil-kecilan seperti jual baju dan minyak wangi," ujarnya yang belum merancang untuk benar-benar kembali aktif dalam dunia seni atau tidak selepas ini.

Bagaimanapun sebaik mendapat anak kedua setahun lalu, Pierre berkata, Hidayah tiba-tiba memberi signal untuknya kembali ke kerusi pengarahan.

“Sebenarnya saya ada arahkan sebuah filem baru-baru ini tetapi filem itu masih dalam proses suntingan. Tidak lama selepas itu, pihak MIG pula tawarkan untuk menjadi pengarah filem ini.

“Sejujurnya ketika Jangan Pandang Belakang dihasilkan, saya teringin untuk mengarah kerana saya yang menulis cerita tersebut, tetapi saya anggap tiada rezeki.

“Tak sangka, walaupun sudah lama tidak aktif, David Teo masih percayakan saya. Walaupun ini bukan skrip saya, tetapi saya berjanji akan beri yang terbaik.

“Walaupun saya lama menyepi, tetapi ada input yang saya perolehi sepanjang tempoh itu,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!