Arsenal tak sabar 'ratah' Porto

Kemenangan besar dalam saingan EPL beri tonik kepada pemain Arsenal untuk berdepan Porto di pusingan pertama peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara. - Foto Agensi
Kemenangan besar dalam saingan EPL beri tonik kepada pemain Arsenal untuk berdepan Porto di pusingan pertama peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara. - Foto Agensi
A
A
A

KAPTEN Arsenal, Martin Odegaard mendesak rakan sepasukannya untuk meneruskan rentak cemerlang menjelang pusingan pertama peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara di Portugal pada awal pagi Khamis (4 pagi waktu Malaysia).

The Gunners berdepan Porto di Estadio do Dragao dengan berbekalkan momentum kemenangan tiga perlawanan berturut-turut ke atas Liverpool (3-1), West Ham (6-0) dan Burnley (5-0) dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Arsenal yang memburu kejuaraan EPL buat kali pertama sejak 2003 tidak pernah menjulang trofi Liga Juara-Juara selepas tewas kepada Barcelona pada aksi final 18 tahun lalu.

Menurut Odegaard, sekarang adalah masa yang sesuai buat Arsenal melancarkan usaha untuk merampas trofi EPL dan Liga Juara-Juara secara serentak.

“Bos (Mikel Arteta) memberitahu bahawa kami adalah skuad Arsenal pertama yang memenangi lima perlawanan berturut-turut pada awal tahun.

“Jadi, sudah semestinya statistik itu menaikkan lagi motivasi kami untuk berdepan Porto.

“Saya tidak sabar pergi ke sana (Portugal) dan membawa pulang bekalan selesa,” ujarnya.

Arsenal ketika ini menghuni tangga kedua EPL di belakang pendahulu, Liverpool (57) dengan hanya dipisahkan dua mata.

Artikel Berkaitan:

Porto pula berada di tangga ketiga Primeira Liga dengan merekodkan tiga kemenangan, sekali seri dan sekali tewas dalam lima perlawanan terakhir.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28