Lawatan kerja ke Tokyo beri keberhasilan pelbagai bidang - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (kiri) dan Zambry (kanan) bergambar kenangan bersama Masahito Moriyama ketika mengadakan pertemuan serta sesi Taklimat TVET oleh MEXT pada Selasa. Foto Bernama
Ahmad Zahid (kiri) dan Zambry (kanan) bergambar kenangan bersama Masahito Moriyama ketika mengadakan pertemuan serta sesi Taklimat TVET oleh MEXT pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

TOKYO - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan lawatan kerja beliau selama empat hari ke Tokyo memberi manfaat besar kepada Malaysia dalam pelbagai bidang terutama bagi sektor Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, selain itu Malaysia juga mendapat faedah dalam aspek pendigitalan apabila berpeluang bertemu dengan dua syarikat terkemuka dunia dalam bidang itu dalam lawatan berkenaan.

"Lawatan hari terakhir di Tokyo ini memberi keberhasilan dari segi bukan hanya dalam bidang TVET, tetapi meliputi pelbagai lain terutama apabila dua syarikat terlibat dalam bidang pendigitalan dan bertaraf dunia memberi input (bagaimana data raya boleh membantu) dalam isu perubahan iklim dan pemanasan global,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media Malaysia selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun, Masahito Moriyama di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang tiba di sini pada 17 Februari lepas, sebelum ini mengadakan lawatan ke Institut Teknologi Nasional, Kolej Tokyo (Tokyo KOSEN) bagi mempelajari Model KOSEN.

Model KOSEN menekankan konsep pembelajaran TVET lebih menyeluruh dan terangkum dengan menyediakan laluan pembelajaran selama lima tahun kepada pelajar yang cenderung memilih bidang itu seawal usia 15 tahun.

Semalam, Ahmad Zahid dianugerahkan Ijazah Kedoktoran Kehormat Kejuruteraan daripada Institut Teknologi Shibaura (SIT) sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam pengukuhan kerjasama pendidikan teknikal Malaysia-Jepun.

Penganugerahan itu berikutan usaha berterusan Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara, bagi memastikan TVET terus menjadi platform meningkatkan kemahiran pelajar serta pengukuhan jalinan kerjasama industri kedua-dua pihak.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Ahmad Zahid turut menyaksikan pemeteraian Perjanjian Kerjasama Perkongsian Inovasi antara MyDIGITAL Corporation dan Toshiba Digital Solutions Corporation bagi aplikasi teknologi data raya, serta melawat NEC Super Tower.

Mengulas lanjut mengenai bidang TVET, Ahmad Zahid berkata bukan sahaja Kementerian Pendidikan Tinggi, malah Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang mempunyai institusi TVET perlu melakukan tindakan susulan terhadap pendedahan yang diperoleh dalam lawatan kerja itu.

"Begitu juga empat Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang terlibat dalam pendidikan teknikal... perlu dikoordinasikan bagi meningkatkan taraf TVET negara dengan bidang-bidang baharu yang telah digunakan dalam sistem pendidikan teknikal di Jepun,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, dalam lawatan itu, delegasi Malaysia turut berpeluang mempelajari cara Jepun menangani isu bencana alam, susulan negara "Matahari Terbit’ itu sering berdepan situasi seperti banjir, tsunami dan perubahan iklim yang sangat mendadak.

"Tentu kita mahu MetMalaysia (Jabatan Meteorologi Malaysia) dan NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) serta jawatankuasa banjir di peringkat negeri dan daerah akan mendapat manfaat apabila segala maklumat terbaharu yang digunakan di Jepun dapat digunakan di Malaysia.

"Ini terutamanya apabila pengurangan risiko bencana dapat dipelajari daripada sistem amaran awal yang sudah lama diamalkan di Malaysia, dan Jepun mempunyai sistem yang lebih maju, dan ia harus dipelajari oleh MetMalaysia dan NADMA,” katanya.

Beliau berkata kerajaan turut meneroka kemungkinan melaksanakan sistem satelit bagi mengurangkan risiko terhadap masalah jerebu, sepertimana yang digunakan oleh Jepun.

Mengenai pertemuan dengan Masahito, Timbalan Perdana Menteri berkata, antara dibincangkan adalah berhubung pembukaan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia yang dijangka pada tahun ini.

Ahmad Zahid berkata, Masahito turut berhasrat melawat Malaysia Mei depan.

Universiti Tsukuba yang ditubuhkan pada tahun 1872 merupakan salah satu daripada 86 universiti awam dan tersenarai dalam 10 universiti terbaik di Jepun.

Esok, Ahmad Zahid akan meneruskan lawatan kerja ke Osaka, dan dijadual menghadiri sesi libat urus bersama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Osaka (OCCI) dan Sesi Meja Bulat: ‘Menghubungkan Ekosistem Halal Antara Malaysia dan Jepun bagi Meningkatkan Perdagangan, Pelaburan dan Pekerjaan Berkualiti’.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Halal Malaysia, turut dijadual mengadakan lawatan ke Sanda Shokuniku Kosha Co., Ltd untuk melihat operasi pusat penyembelihan Jepun dalam pengeluaran dan pembekalan daging lembu halal.

"Semoga apa yang kita pelajari sepanjang lawatan ini di Tokyo akan disambung di Osaka untuk mendapat pendedahan dalam bidang lain yang terkait dengan saya pengerusi sesebuah jawatankuasa,” kata Ahmad Zahid.

Turut mengiringi Ahmad Zahid dalam lawatan kerja ke Jepun itu ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, pegawai kanan daripada kementerian dan agensi berkaitan serta wakil institusi pengajian tinggi. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28