Kastam Perlis rampas kanabis, ketum bernilai lebih RM64,000

Daun ketum yang dirampas dianggarkan bernilai RM2,300 yang disembunyikan dalam sebuah kenderaan pikap bernombor pendaftaran Thailand - Gambar hiasan
Daun ketum yang dirampas dianggarkan bernilai RM2,300 yang disembunyikan dalam sebuah kenderaan pikap bernombor pendaftaran Thailand - Gambar hiasan
A
A
A

PADANG BESAR - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis merampas dadah dipercayai kanabis dan daun ketum bernilai RM64,300 dalam serbuan serta pemeriksaan berasingan di kawasan Kuala Perlis dan Padang Besar, Khamis lepas.

Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim berkata, kanabis seberat 20.545 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM62,000 itu ditemukan terapung dalam satu bungkusan guni pada 4.30 pagi di Sungai Belati, Kuala Perlis.

"Hasil pemeriksaan di dalam guni menemukan 20 ketulan mampat daun kering disyaki kanabis.

"Dadah itu boleh digunakan lebih 102,000 penagih,” katanya pada sidang akhbar pada Selasa.

Beliau berkata, modus operandi pengedaran dadah terbabit dipercayai dengan menghanyutkan bungkusan guni di perairan sungai bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa sebelum diambil oleh pihak tertentu.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya merampas 230 kg daun ketum dianggarkan bernilai RM2,300 yang disembunyikan dalam sebuah kenderaan pikap bernombor pendaftaran Thailand menerusi pemeriksaan di laluan keluar Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian dekat sini pada 11 pagi hari sama.

Menurut Ismail hasil pemeriksaan terhadap kenderaan yang diubah suai dan dipandu remaja lelaki tempatan berumur 16 tahun itu menemukan beberapa bungkusan berisi daun ketum yang disembunyikan di bonet, ruang tersembunyi belakang kenderaan dan dalam kenderaan itu.

Beliau berkata, remaja itu mendakwa melakukan kerja sambilan dengan menerima upah daripada sindiket penyeludupan sekitar RM10 untuk satu perjalanan bagi membawa bekalan daun ketum dipercayai dari kawasan Wang Kelian hingga melepasi sempadan Malaysia-Thailand.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua daun ketum disyaki untuk diseludup ke Thailand itu telah disita bersama-sama kenderaan pikap dengan dianggar bernilai RM110,000,” katanya menambah remaja yang masih bersekolah itu dilepaskan dengan jaminan Kastam. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28