Bentuk skuad 'solid' ke Piala Thomas

Rexy. Foto Agensi
Rexy. Foto Agensi
A
A
A

SKUAD badminton lelaki negara dilihat mempunyai peluang untuk menjuarai Piala Thomas yang kali terakhir dimenangi pada 1992, namun perlu lebih ampuh sebagai sebuah pasukan.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, para pemain yang dipilih wajar menunjukkan komitmen tinggi kepada pasukan selain perlu mempunyai semangat patriotik yang tinggi bagi menggalas cabaran negara.

“Kalau kita tiada satu komitmen atau solid sebagai satu pasukan, kita hanya nampak kuat saja. Kalau orang Indonesia bilang, macam tong kosong tetapi bunyinya nyaring. Ini yang kita harus perbaiki.

“Pemain juga harus ada sifat patriotik, saya pernah ada pengalaman (ketika bersama skuad Indonesia), kalau ego saya lebih besar daripada Taufik (Hidayat) atau siapa pun dalam pasukan, kita memang tidak akan mampu (juara Piala Thomas 2002),” katanya.

Beliau mengulas mengenai persediaan skuad negara ke Piala Thomas di Chengdu, China April depan selepas Malaysia gagal mempertahankan kejuaraan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Shah Alam pada Ahad.

Rexy menjelaskan bahawa komitmen pasukan tanpa mengira pemain kebangsaan atau profesional adalah sangat penting bagi membentuk skuad yang cukup padu untuk mencabar kejuaraan Piala Thomas.

“Saya ada pengalaman bersama pasukan Thailand (sebagai ketua jurulatih) yang mana di sana banyak pemain dari kelab dan kebangsaan.

“Kita adakan mesyuarat dengan kelab, kita dapatkan komitmen semua untuk mengadakan kem latihan pusat untuk pemain benar-benar fokus membuat persiapan.

Artikel Berkaitan:

“Saya lihat ini yang masih kurang dalam pasukan dan kita perlu berusaha ke arah itu,” katanya.

Justeru Rexy bertekad untuk membentuk skuad terkuat ke Piala Thomas sambil mengharapkan kerjasama padu daripada semua pihak khususnya para pemain.

Beliau berkata, kejayaan tidak datang andai bersandarkan harapan kepada jurulatih semata-mata, sebaliknya pemain wajar menunjukkan kesungguhan tinggi kerana mereka yang beraksi dalam gelanggang.

“Misalnya, sebagai ayah, saya tahu kamu mampu tetapi anak tidak mahu. bagaimana? Sekarang, juara itu bukan daripada saya, juara itu datang daripada orang yang mahu menjadi juara dan yang bermain di lapangan.

“Kita (jurulatih) cuma boleh bersuara dan memberikan arahan. Namun yang mahu juara siapa, bukan kita. Kalau kita cakap mahu juara, ya saya mahu juara kerana mentaliti saya adalah mentaliti juara,” katanya.

Skuad negara yang tempang tanpa khidmat dua perseorangan utama, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong kerana masalah kesihatan serta kecederaan terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara apabila tewas 0-3 di tangan China pada aksi final.

Rexy merupakan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Atlanta 1996 itu dalam acara beregu lelaki bersama gandingannya, Ricky Subagja.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28