Kelantan perhebat kempen sifar plastik Ramadan ini

Hilmi (tengah) menyampaikan plak Kempen Sifar Plastik kepada wakil pasar raya di Kota Bharu pada Isnin.
Hilmi (tengah) menyampaikan plak Kempen Sifar Plastik kepada wakil pasar raya di Kota Bharu pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan negeri akan menggiatkan kempen Penggunaan Sifar Plastik sepanjang Ramadan tahun ini dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada beg plastik ketika membeli-belah.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, peniaga di bazar Ramadan digalakkan meminimumkan penggunaan plastik dan menggalakkan pelanggan membawa beg sendiri.

Menurut beliau, sebagai permulaan, sebanyak 11 pasar raya utama di Kelantan memberi sokongan kepada usaha berkenaan dengan tidak lagi membekalkan plastik kepada pelanggan.

"Ramadan ini merupakan tempoh sesuai untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran kepada pengguna mengenai bahaya plastik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kota Bharu Bebas Beg Plastik di sini pada Isnin.

Hilmi (kiri) mengagihkan beg pakai buang kepada pelanggan Pasaraya Aeon Mall sempena Majlis Pelancaran Kota Bharu Bebas Beg Plastik pada Isnin.
Hilmi (kiri) mengagihkan beg pakai buang kepada pelanggan Pasaraya Aeon Mall sempena Majlis Pelancaran Kota Bharu Bebas Beg Plastik pada Isnin.

Hilmi juga berharap semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini melaksanakan kempen sifar plastik bagi memastikan pelan hala tuju itu dapat dilaksanakan pada 2030.

"Kita masih ada masa enam tahun lagi ke arah sifar plastik dan kini sedang menggalakkan semua PBT melaksanakan perkara itu secara berperingkat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya lagi, kerjasama dengan pelbagai pihak penting bagi menggantikan beg plastik termasuk membantu menyediakan alternatif lain yang lebih berkesan.

"Malaysia berdepan isu plastik yang agak kritikal kerana negara menduduki tangga kelapan daripada sepuluh negara utama dalam pengurusan sisa plastik yang tidak sistematik," katanya.

Jelas beliau, sebagai usaha membantu mengurangkan penggunaan plastik, kerajaan negeri memulakan dasar Kelantanku Bersih pada 2018 dan tahun ini sebanyak RM 12.8 juta diperuntukkan bertujuan menjaga kebersihan dan mengurangkan sampah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!