Curi barang kemas ibu mentua beli dadah, bayar hutang motosikal

Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Azam.
Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Azam.
A
A
A

AMPANG - Seorang lelaki tergamak mencuri barang kemas milik ibu mentuanya demi membeli dadah, berjudi dan melangsaikan hutang tertunggak motosikal.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, seorang wanita berusia 56 tahun menyedari barang kemas yang diletakkan di laci almari dalam bilik tidur telah hilang pada jam 3.30 pagi, 11 Februari lalu.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati satu gelang tangan emas telah tiada manakala seutas rantai leher emas milik mangsa telah ditukar kepada emas palsu dengan anggaran kerugian RM30,000," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Azam berkata, susulan laporan yang diterima, pihaknya berjaya memberkas suspek berusia 26 tahun di Taman Pandan Mesra pada jam 6.30 petang, Isnin lalu.

"Hasil soal siasat, polis menahan seorang lagi lelaki yang juga tukang masak berusia 38 tahun di Sungai Buloh pada jam 8.45 malam, Rabu.

"Lelaki itu merupakan pembeli barang kemas tersebut," katanya.

Beliau berkata, semakan lanjut mendapati hanya suspek pertama mempunyai dua rekod lampau bagi kesalahan dadah.

Artikel Berkaitan:

"Ujian air kencing yang dijalankan ke atas kedua-dua lelaki itu mendapati suspek pertama positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine manakala suspek kedua pula positif dadah kanabis.

"Kedua-dua suspek telah direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.