X

Kindly register in order to view this article
!

Syor JKA sedia aplikasi aduan orang ramai

Jais Abdul Karim
A
A

SHAH ALAM - Penubuhan Jawatankuasa Aduan (JKA) bagi memantau salah laku membabitkan 20 agensi penguatkuasaan negara ini perlu dilengkapi penyediaan kemudahan aplikasi aduan orang awam secara dalam talian.

Pengerusi Malaysia Corruption Watch (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pihaknya menyambut baik keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan JKA, namun pelaksanaannya mesti mengikut trend penggunaan media sosial dalam kalangan rakyat negara ini.

Menurutnya, JKA juga mesti bersifat telus dan mempunyai satu laman sesawang khusus bagi menjawab segala persoalan rakyat berkaitan fungsi dan peranan jawatankuasa itu.

"JKA perlu mewujudkan satu aplikasi khusus yang boleh dimuat turun orang awam bagi memudahkan mereka mengemukakan aduan terhadap salah laku mana-mana agensi penguatkuasaan negara ini secara atas talian.

"Selain itu, JKA harus memastikan tempoh pengambilan tindakan terhadap setiap aduan pengadu diselesaikan secara efisien dengan pengadu boleh mengetahui perkembangan status aduan mereka dalam tempoh spesifik.

"Antara beberapa kelemahan agensi penguatkuasaan kerajaan dikenal pasti sebelum ini adalah tiada maklum balas atau tindakan diambil terhadap aduan permasalahan dikemukakan rakyat dan inisiatif JKA adalah tepat pada waktunya bagi menyelesaikan kelemahan ini," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas langkah kerajaan menubuhkan sebuah JKA bagi memantau pengendalian aduan kes-kes salah laku membabitkan 20 agensi penguatkuasaan.

Sementara itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz menyarankan kerajaan mencontohi Australia dalam menubuhkan JKA.

Menurutnya, bagi memastikan pengendalian aduan kes-kes salah laku kakitangan kerajaan dikendalikan secara telus dan efisien, kerajaan Australia mewujudkan sebuah tribunal pendengaran salah laku dipanggil Administrative Appeals Tribunal (AAT).

"Melalui pelaksanaan AAT, setiap aduan akan dipantau secara kualitatif di mana data dan statistik aduan serta sejauh mana ketepatan sesuatu keputusan dibuat terhadap kes aduan didedahkan kepada umum.

"Selain itu, AAT turut menekankan pendedahan laporan tahunan pelaksanaan tindakan terhadap aduan salah laku oleh tribunal kepada Dewan Rakyat dan orang awam bagi membuktikan ketelusan dan keberkesanannya," katanya.

Muhammad Faisal berkata, aspek ketelusan dan keberkesanan pelaksanaan JKA perlu dititikberatkan kerajaan bagi memastikan peranan jawatankuasa itu benar-benar membawa kebaikan dalam menambah baik kualiti perkhidmatan agensi penguatkuasaan negara ini.

"Selain itu, ABIM turut menyeru kerajaan meluaskan penglibatan pihak berkepentingan lain selain kerajaan dalam JKA seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, bekas pegawai kerajaan dan orang awam.

"Dengan cara itu, pihak-pihak berkepentingan ini boleh memberi pandangan untuk menambah baik kualiti pelaksanaan JKA demi kepentingan negara," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus