Gangguan operasi LRT, Prasarana akan tuntut pampasan RM38 juta

Anthony (dua dari kanan) ketika sidang media pembukaan semula laluan Transit Aliran Ringan (LRT) antara Stesen Masjid Jamek dan Bandaraya di Stesen LRT Bandaraya pada Sabtu.Foto Bernama
Anthony (dua dari kanan) ketika sidang media pembukaan semula laluan Transit Aliran Ringan (LRT) antara Stesen Masjid Jamek dan Bandaraya di Stesen LRT Bandaraya pada Sabtu.Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemaju dan pemilik tapak projek pembinaan sebuah hotel, yang menjadi punca gangguan operasi Transit Aliran Ringan (LRT) Stesen Masjid Jamek dan Bandaraya di sini, termasuk menuntut pampasan berjumlah RM38 juta.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, amaun tuntutan itu, melibatkan kos baik pulih kerosakan struktur di beberapa jejambat LRT dan kos operasi pelan kontingensi melibatkan penyediaan bas perantara.

Beliau berkata, keputusan bagi menuntut segala pampasan dan tindakan undang-undang hanya selepas semua proses pembaikan selesai dilaksanakan, bagi memastikan gangguan perkhidmatan dapat diselesaikan sesegera mungkin.

"Ini arahan yang kementerian terima, kerana jika kita ambil tindakan lain seperti tuntut pampasan dahulu, baru fikir nak baiki, gangguan akan berlanjutan lebih lama dan ini akan lebih menyusahkan pengguna, kena ingat stesen ini tutup dah lebih setahun lalu (27 Februari 2023).

"Jadi kerja-kerja pembaikan yang bermula Mac tahun lalu berjaya disiapkan pada Disember lepas, sebelum melalui beberapa siri ujian bagi tujuan keselamatan rel dan pematuhan piawaian, sebelum kita buka sepenuhnya semula operasi hari ini,” katanya dalam sidang media selepas meninjau operasi pembukaan semula Stesen LRT Bandaraya di sini.

Ditanya sama ada projek pembinaan hotel berkenaan akan diteruskan atau dihentikan, Anthony berkata, keputusan berkaitan perkara itu terletak di bawah bidang kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Bagaimanapun mengambil pengajaran daripada kes ini yang memberi kesan besar kepada keselesaan pengguna, sekiranya ia diteruskan kita harap syarat yang lebih ketat dikenakan bagi mengelak perkara sama berulang pada masa akan datang.

"Juga perlu untuk mana-mana PBT (pihak berkuasa tempatan) melibatkan Prasarana dan APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat) dalam sebarang keputusan kelulusan projek dan pembinaan, terutama dalam radius 250 meter daripada mana-mana stesen pengangkutan awam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai gesaan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang merayu kerajaan untuk campur tangan dalam isu dihadapi penghantar p-hailing melibatkan kadar upah, Anthony berkata, pihaknya akan mengkaji perkara berkenaan.

"Kita juga akan berbincang dengan kementerian lain yang terlibat dan pada masa sama meminta pihak Grab untuk memberikan penjelasan," katanya.

Media pada Jumaat melaporkan Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor bersama lebih 50 penghantar makanan, menyerahkan memorandum berkaitan isu tersebut kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pengangkutan, Dr Nor Fuad Abdul Hamid, di Putrajaya.

Menurut Kamarul, penurunan kadar upah asas sejak sebulan lalu, telah menjejaskan pendapatan harian golongan penghantar.


Rapid Rail sasar 200,000 penumpang laluan Ampang/Sri Petaling menjelang 2024

Dalam pada itu, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) menyasarkan 200,000 purata pengguna harian LRT Laluan Ampang/Sri Petaling menjelang penghujung 2024.

Rapid Rail dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan, jumlah berkenaan bertambah berbanding 155,000 penumpang pada tahun lepas, susulan pembukaan semula laluan antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya pada 6 pagi tadi.

"Serentak dengan pembukaan semula laluan antara kedua-dua stesen tersebut, kekerapan tren pada waktu puncak kembali normal dengan masa menunggu tiga minit bagi daerah pusat perniagaan (CBD) dan enam minit di luar daerah pusat perniagaan (non-CBD) dengan pengoperasian 37 tren," menurut kenyataan itu.

Rapid Rail memaklumkan pembukaan semula laluan itu dibuat setelah mendapat kelulusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berdasarkan penilaian dan pemeriksaan yang dijalankan.

"Proses membaik pulih telah selesai sepenuhnya pada 30 Disember lepas dan pemeriksaan serta pengesahan telah dilakukan oleh pihak jurutera perunding selain beberapa siri ujian dan pemantauan menyeluruh telah dilaksanakan bermula 1 Januari hingga 16 Februari (semalam)," menurut kenyataan itu.

Laluan antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya telah ditutup sejak 27 Januari tahun lepas atas faktor keselamatan akibat kerosakan struktur jejambat dan landasan berhampiran Stesen Bandaraya.

Menurut Rapid Rail, kerja-kerja membaik pulih kerosakan telah dimulakan pada 17 Mac tahun lepas dengan melibatkan dua fasa merangkumi kerja-kerja menyokong jejambat di P163, P164 dan P165 serta mengembalikan struktur jejambat ke kedudukan asal.

Rapid Rail berharap pergerakan penumpang dipermudah selain jumlah penumpang dapat dipertingkatkan dan aktiviti ekonomi di sekitar laluan itu akan kembali rancak.

"Pihak Rapid Rail ingin merakamkan penghargaan terima kasih kepada pengguna setia LRT atas kesabaran dan sokongan berterusan ketika penutupan laluan ini," menurut kenyataan itu. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!