MATRADE ketuai delegasi Malaysia ke Gulfood 2024 di Dubai

Reezal Merican - Foto Bernama
Reezal Merican - Foto Bernama
A
A
A

PERBADANAN Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan mengetuai 80 syarikat Malaysia dan lima agensi kerajaan ke pameran Gulfood 2024 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), dari 19 hingga 23 Februari 2024.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, MATRADE berkata, Pengerusinya, Reezal Merican Naina Merican akan mengetuai delegasi Malaysia.

"Usaha yang dilakukan ini menunjukkan komitmen Malaysia untuk mempamerkan industri makanan dan minumannya yang pelbagai dan inovatif ke persada global.

"Gulfood yang diiktiraf sebagai pameran perdagangan makanan dan minuman tahunan terbesar di dunia, menawarkan peluang penting kepada perniagaan Malaysia untuk menjalin rangkaian, menubuhkan perkongsian, dan mempamerkan produk serta perkhidmatan mereka yang luar biasa," katanya.

MATRADE berkata, pelbagai produk seperti sos dan pes, rempah dan perasa, produk sejuk beku, makanan sedia untuk dimakan, kuih-muih, makanan ringan, minuman, minyak sawit dan banyak lagi akan dipromosikan pada pameran itu.

"Selain mempamerkan jenama Malaysia di Pavilion Malaysia, MATRADE, melalui pejabatnya di Dubai, akan berperanan penting dalam memudahkan proses saling mengenali di antara syarikat-syarikat Malaysia dengan pengimport dan pengedar utama di UAE.

"Melalui pendekatan proaktif ini, matlamat kami adalah untuk meningkatkan profil jenama-jenama Malaysia dalam kalangan pembeli bernilai tinggi ini sambil memupuk potensi peluang perniagaan dan kerjasama," tambahnya.

Kepada pengeksport Malaysia yang berminat dengan pasaran Timur Tengah boleh menghubungi MATRADE Dubai di dubai@matrade.gov.my. - Bernama

Artikel Berkaitan: